2 April, 3 April…. 11 Mei… Menghitung Hari…

0

Banyak perkara yang berlaku sepanjang aku tidak kemas kini Raudhatunnaim ini. Mentua aku baru balik dari umrah hari Ahad lepas (29 Mac). 12 hari mereka berdua di sana, segalanya berjalan baik. Aku minta mentua aku doakan di Baitullah supaya aku dapat bersalin dengan selamat dan dipermudahkannya. Jangkaan 11 Mei. Huhuhu… apabila penghujung begini macam-macam juga yang aku fikirkan. Kalau orang yang bersalin sulung pelbagai persoalan timbul di fikiran sebab tiada pengalaman melaluinya. Aku pun berfikir juga, tetapi cara aku berfikir berlandaskan pengalaman-pengalaman yang aku tempuhi semasa melahirkan anak pertama dan kedua. Yang aku paling rungsing apabila dibiarkan keseorangan menahan sakit bersalin di wad tanpa ada jururawat mahupun doktor yang menjenguk walaupun sudah beberapa jam berlalu. Memang mereka sudah memeriksa aku semasa mula-mula masuk wad, tetapi selepas itu agak lama dibiarkan begitu tanpa pemeriksaan lanjutan. Hendak aku panggil jururawat memeriksa aku di kala aku tak tahan menahan sakit, aku malas kerana pengalaman lepas membuatkan aku punya persepsi jururawat-jururawat suka membebel dan marah-marah pesakit tanpa memertimbangkan soal hati dan perasaan pesakit. Sedangkan EQ salah satu perkara yang mereka belajar dulu.

Seperti anak kedua aku, selepas puas berhempas pulas menahan sakit seorang diri, baru jururawat datang dan memeriksa ‘jalan keluar’ bayi. Rupa-rupanya sudah 8cm. Kalau aku tunggu lama lagi agaknya aku bersalin atas katil wad sahaja, tidak sempat ke bilik bersalin pun. Takut.. takut… Tetapi perasaan takut semua itu tenggelam timbul apabila dibayangi dengan perasaan gembira menatap wajah si comelku yang ketiga ini. Ikut scan yang dilakukan perempuan. Walau bagaimanapun tunggu sahaja dia keluar dulu, baru tahu.

Sepanjang mentua aku pergi umrah, mama dan adik bongsu aku Fatin tinggal di rumah aku bagi menjaga Isyraf. Terima kasih kepada kedua-duanya. Cik abang pula tiap-tiap minggu ada sahaja programnya. Jadinya, segala kerja e-kedai.net aku yang uruskan, kerana kesemua tokey-tokey besar ada hal masing-masing. Daripada melihat pesanan pelanggan, ambil buku dari pengedar dan penerbit, membungkus dan menghantar aku yang urusakan. Balik dari pejabat, aku terus melakukan urusan-urusan e-kedai. Mula-mula tu memang tidak seronok kerana aku kelam-kabut sorang-sorang dan penat, tetapi lama-lama timbul rasa seronok hingga kini aku berangan hendak berhenti kerja sekarang dan mahu sepenuh masa buat bisnes online ni. Banyak perkara aku dapat lakukan andainya aku punya masa bagi menguruskan bisnes online ini.

Seperti teori belon dan gas yang aku pernah dengar dari Puan Ainon, kita setiap manusia ini dikurniakan kuantiti gas yang tertentu dan terhad. Belon ialah semua kerja, tanggungjawab, amanah dan segalanya. Gas pula adalah kudrat, masa, dan kempuan diri.  Gas inilah yang akan digunakan bagi mengisi belon-belon yang ada.  Kalau kita punya terlalu banyak belon, kita tidak ada bekalan gas yang cukup bagi mengisinya. Jadi kita perlu memilih belon-belon tertentu yang menjadi keutamaan dalam hidup kita dan penting buat kita. Belon-belon lain itu pecahkan sahaja ataupun cuba bahagi-bahagikan kepada orang lain bagi menggunakan gas mereka dan kita boleh membayarnya, itupun kalau ada duitlah. Ada faham ka? Sekarang aku rasa aku perlu memilih belon mana yang aku hendak isikan gas lebih dan hendah dibesarkan. Belon mana yang perlu dikurangkan gasnya supaya prinsip Pareto 20:80 dapat diaplikasikan dengan jayanya dalam kehidupan sementara dan akhirat terutamanya. Apa pula prinsip Pareto ini? Apabila kerja yang dilakukan memenuhi prinsip ini, kita tidak letih dan buang masa tetapi hasil yang diperoleh, bagus sekali. Kerja rumah bagi mereka yang hendak tahu lebih lanjut berkaitan prinsip ini, cari sendiri.  Aku sudah habis gas (masa) bagi mengisi belon (tulis blog) ini kerana sekarang aku perlu isi gas untuk belon lain (kerja pejabat kerana waktu bekerja sudah mula). Wallahuaa’lam .

Hasil Nukilan :
Nurulhilyati Abdul Halim
Pemilik Raudhatunnaim.Com
nurul@fauzulnaim.com


Artikel lain dalam kategori Coretan Nurulhilyati

Speak Your Mind

Tell us what you're thinking...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!