Wah lama betul aku tidak menulis di dalam laman ini. Tahun 2007 pun sudah berlalu lebih daripada dua minggu. Ini pun aku mencuri masa sebelum tamat masa bekerja. Selepas berhempas pulas memerah otak dan tenaga menyelesaikan kerja perancangan di PTS Millennia Sdn Bhd, syarikatku (entahlah, aku nak cakap syarikat ku sepenuhnya pun tak boleh sebab aku ini hanyalah partner dan pengarah yang dilantik).
Alhamdulillah 2006 sudah berlalu dengan banyak perkara yang aku ingin buat sudah terlaksana. Ada beberapa azam yang aku gagaskan bagi 2006, tidak berjaya dilaksanakan atas beberapa sebab. Apakah yang diazam tak berjaya? Hmmmm….!!!! OKlah di sini aku ingin senaraikan perkara yang aku ingin buat tahun lepas tapi tak berjaya :
- Menulis dan menyiapkan buku tulisan aku sendiri. Ini azam sejak tahun 2005 yang masih belum berjaya. Boleh dikatakan semua buku yang aku tulis sudah siap 40 hingga 70 peratus. Namun begitu selepas dikaji balik, biarlah dahulu. Aku rasa aku masih belum cukup kredibel lagi bagi menulis buku-buku tersebut. Mungkin orang bertanya mengapa? Aku ini seorang bekas mahasiswa kejuruteraan letrik yang gagal tahun akhir. Kemudian di atas nasib dan keaktifan aku semasa zaman mahasiswa di sunting oleh Puan Ainon Mohd. (Pengerusi PTS sekarang) menjadi salah seorang eksekutif di PTS. Kemudian memulakan sistem editorial, mencipta produk-produk, mencari buku dan manuskrip untuk diterbitkan, memulakan sistem latihan pengarang bersama Puan Ainon Mohd. melatih para eksekutif yang ada hingga ada di antaranya menjadi pengurus di PTS, menjadi pengurus penerbitan, menjadi pengurus pembangunan perniagaan hinggalah sekarang memegang jawatan sebagai pengarah eksekutif di PTS Millennia Sdn Bhd merangkap pengurusnya. Diberikan saham dalam anak syarikat ini tetapi masih tidak layak dikatakan sebagai pemiliknya di atas beberapa sebab yang aku rasa dan mungkin pihak pengurusan rasa begitu. Biarlah dahulu… Daripada sejarah ini aku merasakan masih banyak benda yang aku perlu cari bagi membolehkan aku benar-benar berkredibiliti dalam menulis benda yang aku ingin tulis. InsyaAllah sampai masanya aku akan siapkan buku-buku ini.
- Menubuhkan konsultan motivasi sendiri. Dalam hal ini sama sahaja di atas. Kedua-duanya selari tapi tak sama. Apabila menubuhkan konsultan tentu orang bertanya apakah layaknya aku buat konsultan? Adakah au ini ada kepakaran? Aku tak ingin apa yang aku buat sama sepertimana Doktor palsu yang mengatakan dirinya penerima anugerah itu dan ini sedangkan ijazah sarjananya boleh dipertikaikan. Aku rasa aku perlu mencipta sendiri aku punya gagasan dan kredibiliti. Dan itu yang aku ingin mulakan dalam 2007. Tunggulah masanya nanti.
- Kurus? HAHAHAHAHA!!! Ini aku nak gelak, banyak benda yang aku cuba tahun lepas tapi masih tak berjaya menguruskan diri ini. Herbalife lah, hempedu bumilah dan banyak lagi. Walaubagaimanapun gagasan untuk tidak makan malam berjaya aku ikut dan hingga hari ini aku sudah tidak makan malam lagi. Kecuali ada majlis yang penting untuk diingati dan dijemput. Terima kasih kepada isteri yang tercinta. Dia tidak jemu memberikan semangat dalam hal ini. Kak Bibul, kakak angkat aku semasa di UM pun banyak memberikan motivasi. Dia kurus betul sekarang….Tahniah!!!!
Mengenai apa yang aku ingin buat tahun 2007, hmmm. Banyak sebenarnya yang aku ingin cuba capai. Namun begitu sekarang aku sudah mulakan memprioritikan mengikut keutamaan. Antara perkara yang aku ingin buat tahun ini :
- Untuk Syarikat Penerbitan Aku, PTS Millennia Sdn Bhd. Aku ingin jadikan PTS Millennia Sdn Bhd tahun ini sebagai penerbit buku berkualiti tinggi. Dalam kata lain memenuhi syarat dan standard buku antarabangsa. Pada masa sekarang, PTS M sudah mula dikenali sebagai penerbit buku yang agresif menerbitkan karya pembangunan diri. Namun begitu yang masih tidak puas hati adalah pencapaian tahun lepas, tiada buku terbitan PTS M mencapai taraf box office. Box office pada perkiraan aku mencecah jualan 10000 ke atas. Tahun ini aku sasarkan sekurangnya 30% buku terbitan PTS M boleh mencapai taraf itu. Itu cabaran buat aku dengan staff-staff aku. Harapan aku tahun ini tiada lagi staff yang akan keluar daripada syarikat. Tahun lepas adalah tahun yang amat meletihkan. Dua orang staff aku berhenti dan diberhentikan. Seorang mahu sambung pengajian bagi menjadi seorang pensyarah. Entahlah,bukannya tak boleh sambung mengaji part time tapi dia hendak buat full time. Tak mengapalah dah cita-cita dia. Semoga berjaya mengejar cita-cita. Yang seorang lagi buat perangai di syarikat. Macam-macam karenah dia, tak perlulah sebut apa. Apa yang aku boleh kata masalah sikap dan emosi tak keruan. Yang ini memang aku sendiri keluarkan daripada syarikat. Sekarang aku sudah tidak mengharap tinggi sangat kepada kesetiaan pekerja, sebab pekerja boleh datang dan boleh pergi. Cuma yang boleh dibuat melatih agar menjadi terbaik di antara yang terbaik.
- Untuk Kedai Buku Online aku, e-Kedai.net. Tahun ini adalah tahun keempat e-kedai beroperasi. Banyak yang aku sudah belajar. Alhamdulillah. Tahun ini aku ingin gandakan penjualan di e-Kedai.net. Satu lagi, tahun ini akan wujud satu lagi kedai buku online di bawah pengurusan syarikat aku. www.kedaibukuonline.com. Mengapa wujud dua? Itu aku akan terangkan kemudian.- Untuk projek baru. Tahun ini aku sudah sasarkan penghasilan satu projek baru. Projek ini yang sedang dibuat perancangannya. Aku buat dengan penuh teliti sebab pelaburan ke dalam projek ini juga besar. Boleh disebut lebih daripada RM100K. Tentu ramai yang tertanya-tanya apa projeknya. Biarlah rahsia….
. Nanti bila sudah berjalan dan berjaya, baru aku isytiharkan. Sekarang ni aku, isteri dan keluarga sedang teruja dengan projek ini. Doakanlah projek ini berjaya.
- Untuk Keluarga. Tahun ini bukan tahun penghasilan anak
. Lebih kepada membesarkan anak dan mengharmonikan keluarga. Sehingga ini aku amat bertuah mendapat seorang isteri yang amat memahami perangai dan cara aku. Menyokong sepenuhnya dan menegur apa yang difikir perlu. Aku memang amat memerlukan sokongan dalam menjalankan perancangan yang kadangkala menyesakkan fikiran. Alhamdulillah isteri aku sedia menyokong. Terima kasih sayangku. InsyaAllah projek kita akan berjaya. Amiin. Ayah dan mama aku juga amat menyokong projek yang aku ingin buat. Kami ada sesuatu yang dikongsi bersama.
Harapan aku tahun 2007 ini adalah tahun yang baik untuk memulakan hidup baru. Hidup menuju KEBEBASAN KEWANGAN. Aku tidak suka menggunakan istilah KAYA. Pada pandangan aku ramai orang yang kaya tidak bebas kewangan. Bebas kewangan di sini pada pengertian aku, boleh bebas membuat apa sahaja keputusan tanpa memikirkan isu wang dan duit. Kalau ingin buat itu boleh, buat ini boleh. Semua hutang dapat diselesaikan, tiada lagi tekanan. Itu yang aku sasarkan. Sekarang aku sudah mulakan perancangan 10 tahun hidup aku. Aku menggagaskan setiap tahap umur dalam 10 tahun ini, apa yang perlu dicapai.
Tahun ini aku sudah berusia 30 tahun dan harapan aku pada umur 40 tahun aku dan keluarga sudah ada KEBEBASAN KEWANGAN. Apa yang aku lakukan sekarang adalah untuk tujuan itu. Apabila begitu, aku sudah boleh mula memberikan bantuan kepada perjuangan ummah. Sekarang ini hendak keluarkan wang untuk bantu NGO ataupun badan kebajikan pun fikir dua kali disebabkan kekangan kewangan. 10 tahun ini aku ingin menjadi orang yang boleh membantu perjuangan ummah pada bila-bila masa sahaja.
Hasil Nukilan :Ya Allah! Bantulah hambamu ini, berkatilah cita-cita dan usaha kami ini. Perkenankanlah doa kami. Amiin Ya Rabbal ‘Alamiin!
Fauzul Na'im Ishak
Pemilik Raudhatunnaim.Com
md@fauzulnaim.com