Apa Rasa Apabila Sembahyang?

0

Soalan asas yang perlu dijawab oleh orang Islam. “Apa rasa apabila sembahyang?”. Kelakar juga apabila ditanya dengan soalan begitu secara tiba-tiba. Bagaimana harus saya menjawabnya. Adakah saya perlu memberikan jawapan yang ringkas dengan menganggap orang bertanya itu sudah tahu secara keseluruhannya pasal sembahyang. Ataupun saya perlu berikan jawapan yang terperinci.  Sedangkan saya ini bukanlah ustazah.

Apabila ditanya pasal perasaan apabila sembahyang, saya pun jawab spesifik menjurus kepada apa yang saya rasa.  Apabila sembahyang, saya lepih puas hati, tenang dan rasa tidak berdosa kerana melaksanakan tanggungjawab sebagai Muslim. Sudah sebati dengan kehidupan ini kerana setiap hari 5 kali dilakukan sejak kecil lagi. Apabila tidak sembahyang tentu saya rasa sebaliknya. Saya akan rasa lebih puas hati dan tenang apabila dapat sembahyang dengan khusyuk dan tambah dengan solat-solat sunat. Inilah jawapan ringkas dan menyentuh permukaan jawapan yang sebenarnya sahaja.

Sebelum menjawab soalan di atas dengan lebih mendalam, sebenarnya soalan yang lebih asas daripada itu adalah “Mengapa kita sembahyang?” Masa kecil kita sembahyang sebab emak suruh, takut kena marah, terikut-ikut. Apabila besar sudah pasti kita perlu berfikir menggunakan akal yang waras dan sudah matang, mengapa kita bersembahyang. Adakah alasannya sama seperti semasa kita kecil? Sepatutnya tidak lagi. Biasanya kalau anak saya bertanya, “Mengapa kita kena sembahyang, ibu?” Jawabnya pendek sahaja, “Kerana Allah suruh?”

Huraian lanjut seperti berikut. Ini pengetahuan asas bagi Muslim sahaja. Tanya pada diri sendiri. “Adakah aku ini orang Islam?” Kalau jawapannya “Ya,” sila baca penulisan ini selanjutnya. Jika “Tidak,” berhenti baca sekarang juga. Saya bukan ustazah, saya hanya Wanita Muslimah biasa. Cuba sedaya mungkin menjalani kehidupan ini bagi mendapat redhanya dan mendapat rahmatnya di akhirat nanti. Sembahyang saya juga kadangkala khusyuk dan adakalanya juga terbabas. Namun tetap berusaha mencapai khusuyuk yang dikehendaki Allah. Bagaimana Allah hendak menilai sembahyang saya, saya serahkan kepadaNya.

Kita sembahyang atas kesedaran, sesungguhnya kita sudah mengaku dan bersaksi tiada tuhan selain Allah, Nabi Muhammad itu persuruh Allah. Apabila kita sudah ada ‘akujanji’ ini, kita perlu mengikut dan mentaati apa yang diperintahkan Allah iaitu syariat Islam dan melakukan apa yang diajarkan Rasulullah. Hendak tahu apa yang disyariaatkan Allah, baca dan faham Quran. Kalau tidak mahu sesat dalam memahami Quran, lihat dan ikut apa yang diajarkan Rasulullah yang sudah pasti semuanya selari dengan Quran. Bagi kes ini, kaji berapa kali sembahyang disebutkan dalam Quran. Amal bagaimana Rasulullah sembahyang. Berapa kali sehari? Apa pula rukun sembahyang yang diajarnya dan sebagainya.

Nabi juga pernah berkata, beza antara orang Islam dan kafir adalah orang kafir itu meninggalkan sembahyang. Hadis ini direkodkan oleh Imam Ahmad dan Imam Muslim. Orang Kafir itu tidak sembahyang. Di mana kita?

Apabila jelas mengapa kita perlu sembahyang seterusnya mengamalkan sembahyang itu, barulah kita tahu apa rasa apabila kita menunaikan sembahyang. Perasaan orang yang sembahyang berbeza-beza bergantung pada tanggapan masing-masing pada kewajipan sembahyang.

Jika timbul persoalan, mengapa ada orang sembahyang dengan niat mahu menunjuk-nunjuk? Sembahyang ikut-ikut sahaja? Mungkin ada perkara yang mereka tidak tahu dan tidak jelas. Terangkanlah dengan baik kepada mereka. Yang penting, jangan asyik fikir dan bertanya, “mengapa orang ….?” sehingga lupa hendak bertanya “Mengapa saya….?”

Doalah supaya hati kita sama-sama terbuka dan sentiasa mendapat hidayah Allah.  Hati kita hanya Allah yang berkuasa mengawalnya. Hari ini mungkin kita baik dan bagus, akhir-ahkir kehidupan nanti tiba-tiba berubah, na’uzubillah. Mereka yang hari ini tidak sembahyang, esok lusa entah-entah Allah berikan hidayah menjadi antara mereka yang taat menunaikan suruhanNya.

Syaitan juga ada di mana-mana dan sentiasa bersedia dan berusaha menyesatkan manusia hingga kiamat. Itulah janjinya kepada Allah. Tidak kira sama ada orang yang sembahyang ataupun tidak, mereka sentiasa diganggu syaitan laknatullah. Yang sembahyang jadi tidak khusyuk, yang sembahyang juga terus berbuat jahat, yang tidak sembahyang terus-terusan tidak sembahyang. Jangan biarkan pengaruhnya menguasai kita hinggakan bisikan-bisikannya berjaya menjadikan kita hambaNya yang lalai. Wallahu’alam. Panjang pula tazkirah ini. Maaf kalau letih membaca ya!

DSC_0515

Hasil Nukilan :
Nurulhilyati Abdul Halim
Pemilik Raudhatunnaim.Com
nurul@fauzulnaim.com


Artikel lain dalam kategori Coretan Nurulhilyati

Speak Your Mind

Tell us what you're thinking...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!