Apakah Itu RaudhatunNa’im?

Raudhatun Na’im: Taman-taman syurga adalah idaman semua manusia. Baik yang baik dan buruk, kaya juga miskin. Kesemuanya menunggu-nunggu keputusan peperiksaan di dunia yang memberikan kesan kepada hadiah di akhirat. Raudhatunnaum dipilih sebagai  adalah gagasan yang dipilih oleh Fauzul & Nurul dalam melayari bahtera hidup bagi mewujudkan keluarga harmoni, di dalam redha Ilahi.

Fauzul Na'im Ishak & Nurulhilyati Abdul Halim

Siapakah Nurul ?

Nurulhilyati Abdul Halim dilahirkan pada 1 Ogos 1979 di Bukit Apeng, Kedah. Memulakan persekolahan di Sekolah Rendah Kebangsaan Sultan Mudzaffar Shah Bujang, Bedong, Kedah dari tahun 1986-1991. Melanjutkan pelajaran menegah di Maktab Mahmud Alor Setar, Kedah sehingga tingkatan 3.

Dengan berbekalkan kecemerlangan akademik dan kokurikulum, beliau ditawarkan menyambung pelajaran di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Chepa, Kelantan. Pernah menyandang beberapa jawatan penting antaranya Presiden Persatuan Puteri Islam dan Setiausaha Suruhanjaya Pilihanraya. Bergiat aktif dalam Kelab Kembara Sekolah dan juga mewakili sekolah dalam bidang sukan dan olahraga.

Ditawarkan melanjutkan pelajaran di peringkat matrikulasi (program ekspres) dalam bidang Sains kimia dan biologi. Memperoleh Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Sains Gunaan dari Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang pada tahun 2002. Bergiat aktif dalam Kelab Remaja JIM (KARISMA), PKPIM dan Persatuan Silat Cekak Malaysia.

Memulakan kerjaya dalam bidang penerbitan bersama PTS Publications & Distributors S/B sebagai editor pada April 2002. Mendapat latihan suntingan secara langsung daripada Puan Ainon Mohd. iaitu pakar dalam komunikasi dan bahasa. Turut mengadakan training bagi melatih editor-editor baru di PTS.

Pada penghujung tahun 2003, diberi tanggungjawab sebagai koordinator editorial bagi memantau hal ehwal gerak kerja editor. Mula menjadi Editor Pengurusan di PTS Professional Publishing S/B pada tahun 2005 hingga 2010. Pada tahun 2010 diberikan tugas sebagai Pengarah Akademi Latihan Penerbitan PTS, sebuah unit latihan yang memberikan latihan dalaman kepada para kakitangan tetap dan sambilan di PTS dalam bidang editorial. Meletakkan jawatan pada tahun 2011 untuk menumpukan sepenuhnya kepada bisnes dan keluarga. Beliau sekarang memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden di FINE Academy, sebuah syarikat yang diasaskan bersama oleh beliau dan suami, Tuan Fauzul Na’im Ishak. FINE Academy adalah sebuah syarikat perunding latihan dan motivasi yang mengendalikan program pembangunan penulisan, protokol dan keusahawanan untuk agensi kerajaan dan swasta.

Siapa Fauzul ?

Fauzul Na’im Ishak dilahirkan pada 24 Jun 1977 di Batu Gajah, Perak. Anak pertama daripada enam adik beradik. Namun begitu sayang 4 daripada adik-adik beliau meninggal dunia ketika masih kecil. Bersekolah rendah di Sekolah Rendah Kebangsaan Sultan Abdul Halim di Teluk Intan hingga awal darjah dua. Kemudian berpindah ke Sekolah Kebangsaan Telok Kechai, Kuala Kedah hinggalah darjah enam. Alhamdulillah mendapat keputusan yang cemerlang dalam UPSR dan mendapat tawaran ke 3 buah sekolah, Maktab Mahmud, Sekolah Kebangsaan Agama Kedah dan Sekolah Menengah Sains Machang (SMACH), Kelantan. Beliau memilih untuk ke SMACH. Mendapat keputusan yang agak baik ketika Sijil Rendah Pelajaran dan Sijil Pelajaran Malaysia.

Melanjutkan pelajaran ke Pusat Asasi Sains, Universiti Malaya (UM) dalam bidang Sains Hayat. Cita-cita awalnya untuk menjadi seorang doktor, namun begitu tidak kesampaian disebabkan perubahan sistem pengajian di UM yang mana membenarkan pelajar asasi espress (1 tahun) bersaing dengan pelajar asasi 2 tahun sepertinya. Sudah mendapat tawaran membuat sarjana muda perubatan dan pembedahan tetapi akhirnya ditarik balik dan dimasukkan ke sarjana muda kejuruteraan letrik, UM.

Aktif di UM dengan memegang pelbagai jawatan di sana. Pernah memenangi pilihanraya umum kampus 1997/98 dan menjadi antara mahasiswa termuda UM yang pernah memenangi kerusi umum dalam pilihanraya kampus. Memegang jawatan sebagai Pengerusi Biro Perpaduan dan Kemasyarakatan, Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya 1997/98. Semasa berada di jawatan tersebut, beliau mengasaskan beberapa projek besar mahasiswa UM yang sehingga kini masih disebut-sebut di kalangan penolong pendaftar Hal Ehwal Pelajar UM. Antaranya Karnival Rakan Muda UM, Operasi Khidmat Mahasiswa Sarawak dan Sukan Antara Fakulti. Pernah terpilih mewakili Malaysia untuk ke pertukaran Belia Korea ASEAN. Juga mewakili UM dalam pertandingan bola keranjang antara matrikulasi dan Forum Antara Institusi Pengajian Tinggi.

Beliau di’culik’ daripada Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya untuk menceburi bidang penerbitan buku. Beliau bermula sebagai editor perolehan di PTS Publications & Distributors Sdn Bhd. Mula mengorak langkah mengembangkan syarikat dengan membuat sistem baru editorial dan perolehan manuskrip di sana. Diangkat menjadi Pengurus Penerbitan PTS P&D dan kemudian dilantik menjadi Pengarah Eksekutif & Pengurus di PTS Millennia Sdn Bhd sehingga tahun 2008.

Tahun 2008, beliau dilantik menjadi Pengurus Besar Penerbitan Kumpulan PTS. Menguruskan 9 unit penerbitan di PTS iaitu

  • PTS Millennia Sdn Bhd
  • PTS Professional Publishing Services
  • PTS One Sdn Bhd
  • PTS Islamika Sdn Bhd
  • PTS Litera Utama Sdn Bhd
  • PTS Pop Sdn Bhd
  • PTS Darul Furqan Sdn Bhd
  • PTS NetMedia Sdn Bhd
  • Jabatan Produksi PTS

Berpengalaman luas dalam menyampaikan ceramah dan bengkel penulisan di IPTA tempatan. Sering dijemput ke dalam IPTA dan agensi kerajaan serta swasta daripada Universiti Utara Malaysia hinggalah Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia berkongsi idea mengenai dunia penulisan buku dan pembangunan potensi diri. Sehingga hari ini beliau sudah mengendalikan lebih daripada 400 buah bengkel di seluruh semenanjung Malaysia, Sabah & Sarawak, Brunei dan Indonesia.

Beliau adalah pengasas bersama dan Presiden FINE Academy (dahulunya dikenali sebagai Fauzul Na’im Sdn Bhd) yang diuruskan oleh FINE Training Academy Sdn Bhd. Ia mempunyai 3 anak syarikat iaitu Akademi Penulis Sdn Bhd, Book Pro Publishing Services dan The Next Store. FINE Academy mengendalikan dan menganjurkan bengkel pembangunan diri, penulisan, protokol dan keusahawanan secara latihan dalaman dan publik.