Nu’aim suka membaca Komik-M kerana ada aksi, banyak gambar dan jalan ceritanya sesuai untuk remaja dan juga kanak-kanak sepertinya. Ibu seperti saya pula seronok melihat anak membaca komik ini kerana bahasa Melayu yang digunakan adalah bahasa Melayu standard dan bukan bahasa cakap. Cara ini membantu anak saya belajar membaca dan mengeja dengan betul. Jalan ceritanya pula dijamin oleh penerbitnya, PTS Millennia Sdn. Bhd. menepati syariat Islam. Apa ditunggu lagi! Cepat dapatkan siri Komik-M di pasaran. Anak gembira, ibu bapa puas hati.

Semalam 11 Feb 2010, Kelab Sukan PTS menganjurkan Kejohanan Boling 2010. Pertandingan ini disertai oleh keempat-empat rumah sukan PTS Cakcibo iaitu rumah sukanku, Win Win rumah sukan cik abang, Boom! dan C-G. Meriah sungguh. Diriku bukanlah antara mereka yang hebat dan terpandang dalam sukan ini, tetapi entah bagaimana keajaiban berlaku layak pula masuk final. Mungkinkah ini kejohanan PTS terakhir yang disertai.
Keputusan semalam Cakcibo masih mengekalkan kejuaraan. Cakcibo memang best.Inilah antara kenangan terindah yang mungkin tidak dapat dilupakan. Terima kasih buat anak-anakku yang menjadi penyokong Cakcibo. Asalnya mereka penyokong Win Win kerana ayahnya kuat berkempen. Tetapi mereka beralih arah apabila kecewa Win Win tewas dalam kejohanan futsal yang lepas. Nasib Cakcibo dalam kejohanan futsal itu bagaimana pula? Tentulah menang hihi.
“Nu’aim, apa perasaan mula sekolah hari ini? Adakah Nu’aim rasa berdebar-debar?” Ibu bertanya kepada Nu’aim semasa dalam perjalanan.
“Berdebar-debar itu apa ibu?” Nu’aim bertanya sambil tersenyum. Melihat senyum manisnya itupun ibu sudah mendapat jawapannya. Tentu tidak sabar mahu berjumpa kawan-kawan baru. Tidak ada perkataan ‘berdebar-debar’ dalam kamus hidupnya lagi. Apa yang dia tahu, ’seronok’ sahaja.
Pukul 8.30 pagi ibu dan ayah menghantar Nu’aim ke rumah ummi. Ummi adalah nama panggilan kepada penjaga kanak-kanak di rumah transit. Walaupun pagi itu adalah kali pertama Nu’aim bertemu ummi, tetapi dia releks dan tenang sahaja. Tidak nampak pula riak wajah bimbang mahupun sedih. Melihat keadaannya begitu, hati ibu gembira dan berasa senang mahu meninggalkannya di situ.
Di pejabat, melihat jarum jam menunjukkan pukul 10.45 pagi, ibu terus mencapai handphone dan memanggil ummi Nu’aim bagi bertanya khabar berita. Ibu bersyukur mendengar berita positif daripada ummi tentang Nu’aim.
6.25 petang ibu tertinjau-tinjau mencari kelibat Nu’aim di tengah-tengah lautan pelajar Al-Amin. Kelihatan semuanya serupa sahaja. Selepas 5 minit baru ternampak Nu’aim pada bahagian belakang dalam barisan kelasnya, 1 Yaasir.
“Ibu seronoklah, Nu’aim sudah ada tiga orang kawan baru.” Nu’iam terus bercerita sebaik sahaja kami bertaut tangan ketika bertemu pada petang itu.
“Ha! mana stoking?” Ibu terpandang kaki Nu’aim yang tidak berstoking.
“Ntah, tidak tahu.” Senang sahaja jawapannya.
“Apa yang cikgu ajar hari ini?”
“Entahlah, banyak sangat sampai tidak tahu.Tidak tahu yang mana hendak buat dulu.” Ibu dan ayah tersenyum mendengarnya.
“Tentu cikgu banyak beritahu fasal peraturan itu ini. Confuse?”
“Ya, tahu pun,” katanya.
Banyak perkara dikongsi bersama. Kesimpulannya, hari pertama Nu’aim di sekolah berjalan lancar dan dia sungguh seronok hingga hilang stoking. Apa pula cerita hari yang seterusnya?
“Ibu, esok ibu cuti kan!,” Nu’aim yang disangka sudah tidur, rupa-rupanya belum melelapkan mata.
“A’ah, kenapa?”
“Pagi esok kita kayuh basikal pusing-pusing Sungai Marong, boleh?” Nu’aim menyuarakan rancangannya esok.
“Boleh saja. Itupun kalau cuaca baik, tidak hujan. Dengan syarat, bangun sembahyang subuh.”
“Baik.” Nu’aim dapat melelapkan matanya dalam keadaan gembira. Begitu juga Isyraf yang mendengar perbincangan tadi, dia turut teruja mahu ikut serta.
Apa lagi, pagi tadi Nu’aim sanggup bangun awal, mandi kemudian solat subuh. Tidak henti-henti bertanya bila mahu mula kayuh basikal. “Tunggulah sehingga ayah pergi kerja.”
Isyraf dan Nu’aim naik basikal. Ibu menyorong stroller Humaira’ yang baru masuk 7 bulan. Berpeluh juga pusing kawasan perumahan Sungai Marong ini. Kalau tidak kayuh basikal, kami berjoging sama-sama. Kadang-kala ibu bawa kereta ke taman permainan terdekat dan habiskan 45 minit di sana. Seronok sekali-sekal begini melayan kehendak anak-anak. Lagipun ia aktiviti yang menyihatkan. Beginilah salah satu cara menghargai anak-anak. Tidak perlu keluarkan wang ringgit. Peruntukkan sedikit masa, tenaga dan kemahuan melayani dan menyayangi mereka.
Tengah hari pula Nu’aim mahu makan rendang ayam. Dum dam dum dam kelentang kelentung siap bahan-bahan untuk masak rendang. Sambil memasak rendang, melayan Isyraf makan nasi dan tomyam. Apabila rendang sudah hampir masak, ternampak ada seketul lengkuas di bawah meja. Hahaha rendang ibu tiada lengkuas, larilah sikit rasanya. Kes tidak perasan lengkuas terjatuh bawah meja tadi. Biaq pi la setengah (BMR disengajakan).
Di mana kita kerja? Di pejabat atau tempat kerja kita. Siapa bayar gaji kita? Majikan kita. Apa dia suruh kita buat? Dia suruh kita buat kerjalah. Bos marah ataupun tidak kalau kita main facebook dan tidak buat kerja yang disuruhnya? Biasanya bos marah. Kalau dia tidak marah maknanya dia tidak tahu apa kita sedang buat. Apabila kita mengulangi kesalahan yang sama, agak-agak bos biarkan sahaja? Kalau dia biarkan sahaja, tentu mentalnya juga tidak stabil, sepatutnya dikenakan tindakan disiplin dan boleh dibuang kerja.
Di mana kita hidup? Di bumi Allah. Siapa yang jadikan kita? Allah. Siapa beri kita makan, kesihatan, rezeki, bernafas dan segala nikmat itu? Allah. Apa dia suruh kita buat? Dia suruh kita mentaati semua perintahnya. Kalau kita tidak sembahyang fardu yang disuruh 5 kali sehari itu, adakah dia marah? Tentu dia marah dan tidak suka walaupun sebenarnya Allah tidak mengalami kerugian apa-apa pun, tetapi Dia tetap memberikan kita rezeki, bernafas, dapat minum air sirap limau ais,air bandung,menyanyi, berkaraoke dan pelbagai nikmat lain yang terus-menerus kita dapat.
Lihatlah! kasih Allah dan rahmatnya sangat luas. Tidak berkira dengan kita. Sebaliknya kita pula berkira dengan dia. Solat 5 minit pun sekejap buat, sekejap tidak. Ingatlah anak-anakku pesanan ibu ini. Jangan sekali-kali tinggalkan sembahyang di mana kamu berada hingga akhir hayat kamu. Jangan mudah larut dengan persekitaran yang sentiasa menggugah keimanan dan syaitan yang sentiasa mahu menyesatkan manusia.
Soalan asas yang perlu dijawab oleh orang Islam. “Apa rasa apabila sembahyang?”. Kelakar juga apabila ditanya dengan soalan begitu secara tiba-tiba. Bagaimana harus saya menjawabnya. Adakah saya perlu memberikan jawapan yang ringkas dengan menganggap orang bertanya itu sudah tahu secara keseluruhannya pasal sembahyang. Ataupun saya perlu berikan jawapan yang terperinci. Sedangkan saya ini bukanlah ustazah.
Apabila ditanya pasal perasaan apabila sembahyang, saya pun jawab spesifik menjurus kepada apa yang saya rasa. Apabila sembahyang, saya lepih puas hati, tenang dan rasa tidak berdosa kerana melaksanakan tanggungjawab sebagai Muslim. Sudah sebati dengan kehidupan ini kerana setiap hari 5 kali dilakukan sejak kecil lagi. Apabila tidak sembahyang tentu saya rasa sebaliknya. Saya akan rasa lebih puas hati dan tenang apabila dapat sembahyang dengan khusyuk dan tambah dengan solat-solat sunat. Inilah jawapan ringkas dan menyentuh permukaan jawapan yang sebenarnya sahaja.
Sebelum menjawab soalan di atas dengan lebih mendalam, sebenarnya soalan yang lebih asas daripada itu adalah “Mengapa kita sembahyang?” Masa kecil kita sembahyang sebab emak suruh, takut kena marah, terikut-ikut. Apabila besar sudah pasti kita perlu berfikir menggunakan akal yang waras dan sudah matang, mengapa kita bersembahyang. Adakah alasannya sama seperti semasa kita kecil? Sepatutnya tidak lagi. Biasanya kalau anak saya bertanya, “Mengapa kita kena sembahyang, ibu?” Jawabnya pendek sahaja, “Kerana Allah suruh?”
Huraian lanjut seperti berikut. Ini pengetahuan asas bagi Muslim sahaja. Tanya pada diri sendiri. “Adakah aku ini orang Islam?” Kalau jawapannya “Ya,” sila baca penulisan ini selanjutnya. Jika “Tidak,” berhenti baca sekarang juga. Saya bukan ustazah, saya hanya Wanita Muslimah biasa. Cuba sedaya mungkin menjalani kehidupan ini bagi mendapat redhanya dan mendapat rahmatnya di akhirat nanti. Sembahyang saya juga kadangkala khusyuk dan adakalanya juga terbabas. Namun tetap berusaha mencapai khusuyuk yang dikehendaki Allah. Bagaimana Allah hendak menilai sembahyang saya, saya serahkan kepadaNya.
Kita sembahyang atas kesedaran, sesungguhnya kita sudah mengaku dan bersaksi tiada tuhan selain Allah, Nabi Muhammad itu persuruh Allah. Apabila kita sudah ada ‘akujanji’ ini, kita perlu mengikut dan mentaati apa yang diperintahkan Allah iaitu syariat Islam dan melakukan apa yang diajarkan Rasulullah. Hendak tahu apa yang disyariaatkan Allah, baca dan faham Quran. Kalau tidak mahu sesat dalam memahami Quran, lihat dan ikut apa yang diajarkan Rasulullah yang sudah pasti semuanya selari dengan Quran. Bagi kes ini, kaji berapa kali sembahyang disebutkan dalam Quran. Amal bagaimana Rasulullah sembahyang. Berapa kali sehari? Apa pula rukun sembahyang yang diajarnya dan sebagainya.
Nabi juga pernah berkata, beza antara orang Islam dan kafir adalah orang kafir itu meninggalkan sembahyang. Hadis ini direkodkan oleh Imam Ahmad dan Imam Muslim. Orang Kafir itu tidak sembahyang. Di mana kita?
Apabila jelas mengapa kita perlu sembahyang seterusnya mengamalkan sembahyang itu, barulah kita tahu apa rasa apabila kita menunaikan sembahyang. Perasaan orang yang sembahyang berbeza-beza bergantung pada tanggapan masing-masing pada kewajipan sembahyang.
Jika timbul persoalan, mengapa ada orang sembahyang dengan niat mahu menunjuk-nunjuk? Sembahyang ikut-ikut sahaja? Mungkin ada perkara yang mereka tidak tahu dan tidak jelas. Terangkanlah dengan baik kepada mereka. Yang penting, jangan asyik fikir dan bertanya, “mengapa orang ….?” sehingga lupa hendak bertanya “Mengapa saya….?”
Doalah supaya hati kita sama-sama terbuka dan sentiasa mendapat hidayah Allah. Hati kita hanya Allah yang berkuasa mengawalnya. Hari ini mungkin kita baik dan bagus, akhir-ahkir kehidupan nanti tiba-tiba berubah, na’uzubillah. Mereka yang hari ini tidak sembahyang, esok lusa entah-entah Allah berikan hidayah menjadi antara mereka yang taat menunaikan suruhanNya.
Syaitan juga ada di mana-mana dan sentiasa bersedia dan berusaha menyesatkan manusia hingga kiamat. Itulah janjinya kepada Allah. Tidak kira sama ada orang yang sembahyang ataupun tidak, mereka sentiasa diganggu syaitan laknatullah. Yang sembahyang jadi tidak khusyuk, yang sembahyang juga terus berbuat jahat, yang tidak sembahyang terus-terusan tidak sembahyang. Jangan biarkan pengaruhnya menguasai kita hinggakan bisikan-bisikannya berjaya menjadikan kita hambaNya yang lalai. Wallahu’alam. Panjang pula tazkirah ini. Maaf kalau letih membaca ya!
Allahuakbar! Allah maha besar. Belum masuk waktu subuh lagi. Subuh di pagi Raya Aidil Adha. Raya kali ini kami tidak balik kampung. Cuti sekejap sangat. Persiapan raya pun ala kadar sahaja. Semalam, bersama-sama mentua buat rendang ayam. Tempah lemang. Buat kuih milky ball kegemaran Nu’aim. Apa agenda pagi raya ini? Aku pun tak pasti. Yang pasti pagi nanti suami dan anak sulungku ke masjid sembahyang raya. Aku seperti biasa, sembahyang di rumah. Isyraf, belum sesuai dibawa ke masjid. Kalau aku ikut serta ayahnya ke masjid, sudah pasti dia juga tidak ketinggalan mahu menyertainya. Kalau tidak dibenarkan, pasti suasana pagi raya didendang dengan tangisan dan amukkan. Kalau dia pergi semestinya aku tidak dapat sembahyang dengan tenang dan khushuk apabila dia merayau ke sana sini dalam masjid nanti. Sembahyang sahaja di rumah. Nanti anak besar sikit, dah pandai jaga diri boleh sama-sama ke masjid.
Gambar di atas untuk UNIKA PTS. Itu gaya ala-ala gambar pasport. Tak pandai posing.
Gambar-gambar di bawah adalah wajah-wajah pagi raya.
Sepanjang perjalanan ke tempat kerja dari Bentong ke KL melalui lebuhraya Karak hari ini aku disajikan dengan pemandangan yang cukup indah. Sudah banyak minggu cuaca buruk sahaja, hujan dan mendung bersilih ganti. Tetapi hari ini aku dapat melihat kembali keindahan yang biasa aku nikmati sebelum ini, kehijauan hutan rimba, langit membiru, pemandangan bukit-bukau yang diselimuti kabus nipis dan kedinginan udara luar menyegarkan tubuh. Semua ini adalah permulaan hari yang cukup baik, ceria dan bahagia. Terima kasih Tuhan kerana masih memberikan aku kesempatan menikmatinya walaupun aku ini hambamu yang selalu lalai dalam mentaati perintahmu. Syukur.
Pagi yang redup. Mood aku juga tidak ceria. Bukan salahkan cuaca, cuma sikap-sikap manusia sekeliling membuatkan mood aku selari dengan cuaca pagi ini.
Aku boleh bertoleransi dengan orang yang berbuat salah, tetapi apabila tempias kesalahan itu terkena aku, ini yang nak hangin ni.
Ini gara-gara maid aku yang tersalah siang udang galah! Lain kali tak tau sila tanya.
Ini destinasi bengkel suamiku sepajang November ni. Apabila anak-anak tahu ayah mereka outstation soalan yang biasa dikemukakan kepada ibu mereka adalah, “Ibu! malam ni boleh tidur di bilik ibu kan!”
Kesempatan inilah yang dinanti-nantikan oleh Nu’aim dan Isyraf, tidur sebilik dengan ibu dan Humaira’. Bulan ini juga paling banyak siapkan baju dan pakaian untuk bekalan musafir suamiku. Pada dinding almari baju, aku siap-siap tulis, senarai bilangan baju dan segala macam benda yang perlu dibawa mengikut bilangan hari dan malam. Kalau 3 hari dah ada senarai barang keperluannya. Kalau 4 atau 5 hari pun sudah siap dikira. Mudah kerja aku sendiri, dan tiada keperluan penting yang terlepas pandang untuk dimasukkan ke dalam beg.
Sepanjang ketiadaan beliau, akulah memandu sendiri bertemankan putera sulungku Bentong-KL hari-hari. Aku bukan superwomen, memang letih badan rasanya. Mujur ada yang teman, kerana maghrib masuk awal dan cepat gelap pula.


















