PTS Selamanya di Hatiku

PTS dalam kenangan

Bulan ini bulan terakhir di PTS. 5 Ogos adalah tarikh perletakan jawatan itu bermula. Tidak mahu cerita banyak tentang perasaan meninggalkan PTS. Sudah tentu perasaan sedih lebih menguasai. Sedih kerana sayangkan PTS. Tempoh hidup saya bersama PTS lebih kurang sama dengan tempoh mengenali ibu mertua saya. Kini ibu mertua baru meninggal dunia dan saya juga akan bergelar bekas pekerja PTS.

Mengapa tinggalkan PTS? Saya tidak akan meninggalkan PTS kerana mendapat kerja di syarikat lain. Hanya dua perkara yang memungkinkan saya meninggalkan PTS iaitu mati ataupun bekerja sendiri. Disebabkan saya masih hidup, alasan kedualah yang menjadi jawapan kepada persoalan, mengapa saya meninggalkan PTS.

Terima kasih Bonda Ainon yang terlalu banyak membimbing saya. Beliaulah guru pertama saya dalam dunia penerbitan. Kenangan pertama kali menyunting buku berjudul Etiket Islam tidak pernah dilupakan. Itulah judul buku pertama yang saya sentuh.

Prof. Abdullah Hassan pula umpama ayahanda yang banyak membimbing dan mengajar selok-belok berbahasa dengan baik. Jasamu sentiasa dikenang.

Buat En. Arief Hakim, terima kasih kerana sudi membayar gaji saya selama ini. Dek kerana gaji yang diberikan itu saya mampu membayar PTPTN dan tidak disenaraihitamkan.

Walaupun saya meninggalkan PTS, namun saya sentiasa menyokong perjuangan PTS dan mendoakan Tuhan memberkati usaha kalian semua. Saya akan mengikut rapat perkembangan cerita PTS kerana di sisi saya masih ada orang kuat PTS iaitu Tuan Fauzul Na’im Ishak.

Isyraf Masuk Tadika

Gambar Isyraf 2 Tahun Lebih

Muhammad Isyraf Idraki sudah tadika. Tadika mana lagi kalau bukan Tadika Tunas Ilmu. Wahai cikgu-cikgu kita bertemu lagi.

Sejak awal lagi Isyraf sudah menyatakan hasratnya tidak mahu ke sekolah. Disebabkan otaknya sudah tertanam niat tidak mahu ke sekolah, maka memang mencabarlah kami ibu ayahnya mahu menghantarnya ke sekolah.

Bulan pertama memang mencabar. Hari pertama, minggu pertama habis baju dan tudung ibu ditarik-tarik kerana tidak mahu ditinggalkan. Kemudian masuk 2 minggu, baru mahu stabil sedikit, ada pula senior yang katanya memijak punggungnya semasa tidur. Dia jadi takut. Lantas saya memberitahu cikgu supaya perhatikan senior yang suka buli budak kecil ini.

Akhirnya kini sudah 7 bulan di sekolah, segala-galanya berjalan lancar.Cuma ada satu jenis soalan ini tidak pernah lekang dari mulutnya setiap kali mahu berpisah pada waktu pagi, “Ibu, pukul berapa petang ini?” Dia hanya ingin memastikan saya tidak lupa menjemputnya pada waktu petang nanti. Ayat yang membawa maksud sama tetapi dalam bentuk pernyataan, “Ibu, pukul 5 kan.”

Begitulah kerenah Isyraf Idraki. Semoga Allah menjadikan Isyraf anak yang soleh dan bertambah yakin dengan diri sendiri dalam apa jua yang dilakukan.

Semoga Roh Ibu Mertuaku Aman Di Sana

Saat kegembiraan bersama Mama di Janda Baik

Sebenarnya banyak perkara berlaku sejak tidak mengemas kini Taman Nikmat ini. Peristiwa terbesar yang berlaku adalah kepulangan ibu mertuaku ke rahmatullah pada 19 Jun 2011 yang lalu. 13 Mei 2011 beliau dimasukkan ke wad dan sejak itu saya dan biras bergilir-gilir menjaganya hingga ke akhir hayat.

Sejak sekian lama sakit dan berubat di sana sini, hanya sebulan sebelum meniggal beliau dikesan menghidap kanser payu dara tahap 4. Selama sebulan di hospital entah berapa kali doktor sudah memberitahu kami keluarga terdekat yang beliau berada pada tahap kritikal dan peluang hidup amat tipis. Kami menerima khabar dan ketentuan ini dengan redha.

Sebagai anak menantunya, kami cuba memberikan khidmat dan bakti yang terbaik. Kami sentiasa melayani kehendak dan permintaannya dan cuba memastikan persekitaran emosi dan fizikalnya dalam keadaan yang terbaik.

Semoga rohnya sentiasa dicucuri rahmat Ilahi. Kami akan menyusul nanti.

Rasa Marah? Mahu Marah? Kawal Marah.

Marah adalah perasaan semula jadi yang dicipta oleh Allah kepada manusia. Rasa marah dan benci yang timbul apabila mengalami perkara yang tidak disukai Allah, itu adalah marah yang terpuji. Contohnya, kita berasa marah apabila melihat kejadian ragut di hadapan mata. Itu adalah marah yang baik dan semula jadi. Kita marah apabila melihat orang lain menghina Nabi Muhammad kesayangan kita. Itu marah yang baik, yang menunjukkan kita sayang akan Islam. Kita marah apabila melihat pasangan lelaki perempuan yang belum berkahwin berpeluk-peluk. Marah ini kerana kita benci melihat orang Islam yang sepatutnya bertingkah laku baik menurut Islam, namun  tidak berbuat begitu.

Marah adalah ciptaan yang Allah berikan kepada manusia. Marah kadangkala baik. Marah yang ditunjukkan dalam cara yang baik, tiada masalah.

Ada marah yang terpuji dan ada marah yang dilarang. Marah yang terlarang adalah marah yang tidak bertempat dan tidak tahu puncanya. Marah ini bersumberkan syaitan dan nafsu.

Apabila Mahu Marah

Apabila berasa marah, yakni marah yang terlarang, lakukan perkara-perkara berikut supaya kita mampu mengawal rasa marah itu:

  1. Sekiranya marah itu tujuannya mahu menunjukkan kita ini kuat, ingat pada Allah.  Allah lebih kuat daripada kita.
  2. Ingat Malaikat. Raqib atid mencatat segala perkataan kita dalam kitabnya. Kata-kata yang dilemparkan sewaktu marah biasanya mengandungi perkataan yang tidak baik dan negatif. Setiap perkataan yang diucapkan itu akan dicatat dan dipersoalkan Allah di akhirat kelak. Cari ayat Quran.
  3. Ingat hari pembalasan. Akan dibentangkan kitab yang mengandungi semuanya secara spesifik. Hari itu akan didedahkan segalanya, tiada yang akan disembunyikan.
  4. Rasulullah pernah ditanya tentang apakah amalan yang dapat membawa ke syurga. Rasulullah berkata, “Jangan marah.”

Bagaimana kawal marah

  1. Ilmu: hanya dengan ilmu kita tahu bagaimana bahagia itu datang.
  2. Fahami hal ini, “Siapa yang kawal marah, Allah pasti sayang.” Fahami ini.
  3. Apabila kita rasa mahu marah, sedarlah Allah lebih kuat daripada kita.
  4. Apabila marah kita tidak nampak lagi kebenaran.
  5. Lihat wajah apabila marah, semakin hodoh, bukan!
  6. Ucaplah ta’awuz banyak-banyak bagi menghilangkan pengaruh syaitan kerana kemarahan datang daripada syaitan.
  7. Apabila kita marah, Allah marah kepada kita.

Marilah kita kawal marah. Siapa dapat kawal marah, beliau adalah orang kuat yang sebenarnya.

Tiada Apa Yang Penting di Sini!

Menjadi ibu, isteri, wanita bekerjaya memang mencabar. Amanah dan tanggungjawab kepada keluarga tetap perlu dilaksanakan walaupun kerja di luar sana tiada kesudahannya.

Sebagai wanita keluarga tetap menjadi keutamaan. Fitrah wanita yang suka berfikir secara mendalam dan teliti menyebabkan mereka mahu menyelesaikan banyak perkara dalam satu-satu masa. Apabila ini berlaku, stress pun mengundang tiba.

Mana tidaknya, bangun pagi sudah fikirkan makanan untuk keluarga. Sekiranya sempat memasak, hatinya lebih bahagia kerana dapat melihat anak-anak dan suami menjamah hasil air tangannya. Sekiranya tidak sempat memasak, jamah makanan kedai sahajalah nampaknya, kesian.

Sambil-sambil itu siapkan perkakasan sekolah dan pakaian ahli keluarga. Ada bibik pun tugasnya terhad. Hari ini mujur saya tidak terlupa Isyraf perlu memakai baju Melayu bagi merayakan hari Maulidurrasul di sekolahnya. Kalau tidak, tentu menangis sesampainya di sekolah kerana melihat dirinya berpakaian lain daripada yang lain.

Tepat pukul 8 sampai ke sekolah, Alhamdulillah. Cepat-cepat balik siapkan diri kerana hari ini perlu masuk pejabat tepat jam 9. Status hari ini makan gaji, bukan majikan. 3 hari seminggu sebagai majikan, 2 hari seminggu makan gaji. Kehidupan saya memang pelik berbanding orang lain. Jarang-jarang orang mendapat peluang seperti saya. Saya bersyukur kepadanya. Di mana-mana syarikat saya bekerja sama ada di FNSB atau PTS, bos saya tetaplah Fauzul Na’im iaitu suami saya sendiri. Sudah 9 tahun begini. Saya sudah lali menerima arahan kerja daripadanya. Daripada arahan kerja personal, rasmi, kerja-kerja kecil, kerja-kerja besar, kuli, tukang masak untuk program dan sebagainya.

Seperti hari ini, celik sahaja mata, nah! Ini senarai kerja yang perlu diselesaikan hari ini. Urgent semuanya. Wah! Seronoknya hidup ini. Masuk pejabat juga, banyak senarai kerja. Dapat panggilan telefon dari staf, juga mahukan pertolongan saya, urgent juga katanya.

Apa ini, semuanya urgent. Waduh! Waduh! Sebenarnya emosi saya terganggu hari ini.  Mood pun lari. Sepanjang perjalanan hantar anak pertama ke sekolah, asyik membebel sahaja kerana dia hilangkan duit. Perkara kecil pun jadi besar apabila tertekan. Mahu berkongsi rasa, dengan siapa? Tuhan sudah pasti. Itulah hakikat hidup. Biar sibuk, kita tidak bosan. Kalau tidak sibuk, mati kebosanan pula. Sehingga saat saya menulis ini, banyak yang sudah diselesaikan. Namun banyak lagi yang belum. Kemahiran mengurus masa. Tahu! Ini bukan masalah mengurus masa, ini masalah gas tidak cukup kerana belon terlalu banyak yang perlu diisi.

Berbisnes Memerlukan Pengorbanan Diri dan Keluarga

Sekarang jam 7.09 malam. Kami berdua masih di pejabat. Beginilah keadaannya tauke bisnes. Orang yang makan gaji, habis waktu kerja dapat balik dengan senang hati. Tauke perlu fikir banyak perkara demi keberlangsungan syarikat terutama bagaimana mengurus aliran tunai serta mencari strategi-strategi terbaik mengepam duit. Pendapatan yang diperoleh bukan difikirkan untuk diri sendiri dan keluarga, tetapi didahulukan untuk staf, overhead syarikat yang lain dan untuk pembekal-pembekal. Gaji sendiri dibayar separuh-separuh dan diletakkan prioriti terakhir dalam senarai staf syarikat. Beginilah keadaan orang yang sedang membangunkan bisnes. Semoga kerja-kerja yang dilakukan menjadi ibadah dan diganjari pahala oleh-Nya.

Usaha dan tawakal perlu bergerak seiring. Usaha sahaja, Tuhan dilupakan tidak menjadi juga. Sekarang sudah azan maghrib. Jom sembahyang!

Satu Cara Tidak Mungkin Sesuai untuk Semua

Sejak Isyraf Idraki 4 tahun, ibu cuba mengajarnya membaca Qiraati dengan lebih kerap. Beberapa hari lagi tamat Qiraati 1. Ibu juga akan memperkenalkan kaedah membaca al-Barqy dan juga Iqra’ bagi melihat kesesuaian dan keserasian antara pelajar dengan kaedahnya.

Semasa belajar dan mengingati bunyi huruf-huruf, Isyraf akan mengaitkan bunyi-bunyi itu dengan perkara di sekelilingnya dan apa yang dia tahu supaya dia mendapat clue bunyi huruf itu dengan gambar yang ada dalam otaknya. Antaranya bunyi ‘ma’ bagi huruf mim berbaris fathah, dikaitkan dengan Mr. Mama, bunyi ‘wa’ dikaitkan dengan lagu bola waka waka eeeh, bunyi na dikaitkan dengan watak Jinak dalam Geng Bas Sekolah dan banyak lagi. Cara dia belajar memang menyeronokkan, namun si pengajar perlu sabar mendengar ulasannya yang tersendiri berkaitan bunyi huruf itu semasa belajar.

Berbeza cara dia belajar apabila dibandingkan dengan si abang. Si abang yang memilik daya ingatan yang tajam dapat mencerap apa sahaja yang dipandang dan diingat dengan pantas. Setakat ini nampak gaya Nuaim memiliki kelebihan otak kiri, Isyraf pula otak kanan. Ibu dan ayah akan cuba membantu mengembangkan bakat yang ada pada diri anak-anak sesuai dengan kelebihan masing-masing.  Setiap anak kita berbeza, kita harus menyesuaikan kaedah didikan dengan ciri-ciri yang ada pada mereka. Satu cara tidak mungkin sesuai untuk semua. Buat abang Nu’aim, tahniah! kerana sudah membaca hingga juzuk 2 dengan bacaan yang betul dan bertajwid.

Ayah Ke Frankfurt, Inilah Peluang Untuk Kami

Ayahanda kepada anak-anakku ke Frankfurt dari 5 hingga 12 Oktober 2010. Bagi anak-anakku ketiadaan ayah mereka umpama mendapat sedikit ruang dan peluang yang tidak dapat mereka miliki apabila ayah mereka ada di sisi iaitu tidur satu bilik dengan ibu. Terhibur melihat gelagat mereka, sanggup melakukan apa sahaja perintah ibu demi mendapatkan peluang tidur bersama ibu pada malam hari.

Begitulah anak-anak, ragam mereka kadangkala membuatkan kita berasa jengkel. Mana tidaknya, ragam mereka kadangkala umpama mahu mematahkan katil apabila melompat, mematahkan tulang belulang apabila bergusti dan menjerit seperti mahu memecahkan gegendang telinga orang yang mendengarnya. Kita hanya dapat menegur mereka dengan baik apabila kita berada dalam situasi yang tenang dan waras.

Namun apabila otak kita sedang berserabut dengan kerja rumah yang tidak selesai-selesai, rumah yang berselerak dan makanan yang belum disediakan, menyebabkan kita bertindak melulu tanpa berfikir panjang. Dalam keadaan ini kita sering bertindak dengan tindakan yang tidak rasional seperti menengking anak-anak yang sedang melompat riang di atas katil, memarahi anak-anak yang memasang televisyen dengan suara yang kuat secara berlebih-lebihan dan banyak lagi reaksi kita yang tidak rasional.

Cuba kita pandang dari sudut positif pula, tingkah laku kanak-kanak memang menghiburkan. Kita berpeluang melihat orang bergusti, bertengkar, menjerit, melompat, berlari, berebut, menyalahkan antara satu sama lain, mengadu dan macam-macam lagi. Bayangkan mereka ini badut-badut kecil yang cuba menghiburkan kita.

Renungkan pula, mereka yang tidak mempunyai anak kecil tentu hidup mereka sunyi.  Bayangkan juga tingkah laku anak kita ini tidak dapat dilihat lagi pada 10 ke 15 tahun akan datang kerana pada masa itu mereka juga sudah dewasa. Pada masa itu tiada lagi gusti, menjerit, melompat dan sebagainya. Tentu kita rindu pada suara dan tingkah laku keanak-anakkan mereka.

Jadi, bagi mengurangkan tekanan apabila berhadapan dengan ragam anak-anak ini, pandang tingkah laku mereka dari sudut yang positif. Pandang wajah comel mereka dan sayangi mereka. Merekalah anugerah Tuhan buat insan yang bertuah seperti kita.

Saya selalu menyesal apabila berlebihan memarahi mereka. Ketika marah kita mudah dikuasai syaitan. Jadi, cubalah kawal diri daripada dikuasai perasaan marah.

Gambar diambil semasa berjogging di tepi sungai berhampiran kawasan perumahan Sg. marong. Berjoging antara aktiviti yang digemari anak-anakku

Ulasan Buku: Buat Duit Dengan Cendawan

Bagi mereka yang ingin menjadikan pertanian sebagai perniagaannya, menanam dan menjual cendawan adalah salah satu pilihan terbaik. En. Mohd Fakhrulrazi dan Puan Rusila Yusof penulis buku Buat Duit dengan Cendawan ada menulis:

“Ketika ini masih ramai yang menganggap proses menanam cendawan adalah rumit. Sebenarnya ia mudah dan senang dijaga. Dalam masa tiga bulan hasilnya sudah boleh dikutip. Bahan asas yang digunakan bagi menanam cendawan adalah habuk kayu, dedak padi, kapur pertanian serta benih cendawan. Cara ini jauh lebih mudah berbanding cara dahulu. Hasilnya lebih lumayan dan kosnya lebih rendah.”

Kedua-dua penulis ini adalah usahawan dalam bidang pertanian. Pengalaman mereka yang luas dalam bidang pertanian dan tanam cendawan dicurahkan di dalam buku Buat Duit Dengan Cendawan ini.

Dapatkan buku Buat Duit dengan Cendawan di e-kedai.net dengan

diskaun 10%

Buat Duit Dengan Cendawan adalah salah satu buku dibawah Siri Buat Duit terbitan PTS Professional Publishing Sdn. Bhd. Siri Buat Duit menerangkan cara menambah pendapatan tambahan dengan melakukan aktiviti bisnes yang mudah, murah dan cepat. Sesuai untuk sesiapa sahaja yang ingin mencari kerja sampingan bagi menambah pendapatan. Mengandungi panduan yang lengkap sebelum dan selepas memulakan bisnes. Diterangkan dengan format yang mudah difahami, pembaca boleh terus membuka bisnes selepas tamat membaca.

Projek menanam cendawan dapat dimulakan di kawasan rumah dengan permulaan modal kurang daripada RM1,500 dan dalam masa tiga bulan hasilnya sudah boleh dikutip. Turut dimuatkan langkah-langkah membiakkan cendawan yang mudah, lengkap dengan panduan pelan projek dan susunan rak memudahkan lagi anda untuk memulakan bisnes ini.

Ada 15 Ilmu Penting dalam Buku Ini yang Perlu Diketahui

1. Mengenali pertanian cendawan dan motivasi

2.      Mengetahui potensi pasaran

3.      Ciri-ciri lokasi yang sesuai dan rumah cendawan

4.      Di mana bekalan benih dapat diperoleh?

5.      Mengetahui kos, anggaran perbelanjaan dan pendapatan

6.      Berapa orang tenaga kerja diperlukan?

7.      Kaedah mendaftar syarikat

8.      Cara menanam cendawan

9.      Bagaimana membasmi penyakit cendawan

10.  Pengurusan selepas tuai

11.  Harga cendawan di pasaran

12.   Bagaimana memasarkan cendawan

13.   Ketahui pengalaman sebenar pengusaha cendawan

14.   Mengenali organisasi yang berkait rapat dengan pertanian cendawan

15.   Pinjaman bagi memulakan pertanian cendawan

Apa ditunggu, dapatkan buku Buat Duit dengan Cendawan di e-kedai.net dengan diskaun 10%

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Dr. Ewon Ebin berkata, cendawan mudah diusahakan dan memberi pulangan lumayan jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh. “Tanaman ini tidak rumit dan hanya memerlukan masa dua atau tiga jam sehari untuk mengendalikannya. Ia amat sesuai dan berpotensi dijadikan punca pendapatan sampingan,” katanya. (Sumber: http://projekcendawan.blogspot.com/2009/10/petani-disaran-usaha-tanaman-cendawan.html. Dicapai pada 28/9/2010)

Harga asal: RM13.50

Harga di e-kedai.net:  RM12.15

Syukur Dapat Menyambut Syawal Tahun Ini

2 minggu sudah umat Islam menyambut Aidilfitri. Cepat betul masa berlalu. Tahun ini saya berpeluang ke masjid menunaikan solat sunat Aidilfitri kerana si kecil  Aisyah sudah 1 setengah tahun dan dapat ditinggalkan bersama bibiknya.  Warna tema baju raya tahun ini biru. Serba biru. Alhamdulillah dapat menyediakan baju baru biru buat semua anak-anakku. Selepas menuanikan solat sunat, sesi bermaafan dan bergambar.

Menu raya kali ini, rendang ayam, kuzi, lemang dan nasi tomato. Penat juga memasak, namun seronok. Seperti juga tahun-tahun lepas, raya pertama menziarahi kelaurga Tok Ngah di Bentong. Raya kedua baru pulang ke kampung halamanku di negeri Kedah. Alhamdulillah dapat bercuti selama 4 hari di sana dan bertemu sanak saudara yang sekian lama tidak jumpa.