Peristiwa tragis yang menimpa arwah adik Nurul Huda, Nurin Jazlin dan terbaru Dirang perlu menjadi pengajaran terutamanya buat ibu bapa. Kita sebagai ibu bapa perlu sentiasa mengawasi anak-anak kecil ini setiap masa dan seboleh mungkin tidak membenarkan mereka keluar rumah seorang diri. Musuh, penjahat, penyangak, pembunuh, mungkin sahaja berada dekat dengan kita cuma kita tidak menyedari sedangkan mereka hanya menanti masa bagi menghancurkan hidup kita.
Kita tidak mampu mengawal tingkah laku orang lain, namun kita mampu mengawal tindakan kita. Kawal orang yang kita sayangi. Temani anak-anak sekiranya mereka tiada teman mahu ke kedai, ke taman permainan mahupun ke sekolah sekiranya mereka tiada teman lain. Sekiranya kita malas mahu menemani mereka, jangan benarkan mereka keluar rumah, biarlah mereka menangis meraung di dalam rumah hanya kerana tidak mendapat keizinan keluar rumah daripada kita menangis kemudian nanti.
Terkenang suatu masa dulu, lutut saya menggeletar dan perut memulas mahu mengeluarkan muntah apabila mendapati si kecil tiada dalam rumah dan pintu terbuka. Ketika anak keluar saya sedang solat. Alhamdulillah Allah memelihara beliau apabila seorang perempuan berbangsa cina mendokongnya dan menjaganya sementara saya berlari-lari mencarinya di sekitar rumah. Aduh! menyesali atas kecuaian diri. Malang memang tidak berbau namun kitalah yang perlu sentiasa berwaspada.
Al-Fatihah buat arwah anak-anak kecil yang menjadi mangsa kejahatan syaitan bertopengkan manusia itu.
