Berhati-Hati Apabila Membuat Peraturan kepada Anak

Petang semalam seperti biasa tepat jam enam setengah petang ibu pergi menjemput Iqbal Nu’aim di sekolah. Dalam jarak kurang dari 50 meter nampak kelibat Nu’aim dengan seorang kawannya. Ibu terperasan kawannya menghulurkan wang seringgit kepada Nu’aim, terus wang itu dimasukkan ke dalam poket seluar. Kedua-duanya terus melangkah ke arah yang berlainan kerana sudah tiba masa untuk pulang.  Lalu ibu kehairanan melihat tingkah mereka berdua tadi dan mengajukan pertanyaan kepadanya semasa berada di dalam kereta.

“Mengapa kawan kamu tadi memberikan duit kepada kamu?”

“Begini ibu, dia tidak boleh bawa pulang duit yang tidak habis digunakan kerana ibunya berkata, ‘Kalau bawa balik duit lebih, esok potong duit bekal,’”  jelasnya panjang lebar.

“Ait! mengapa begitu jadinya?”

Kata Nu’aim lagi, “Entahlah ibu.”

“Ish! pelik. Begini, esok pulangkan duit itu kepadanya dan berikan idea kepadanya supaya simpan duit itu. Bulan April akan ada pesta buku, sempat lagi kalau menyimpan dan duit simpanan itu digunakan bagi membeli buku semasa pesta buku,” cadang ibu.

Pada pandanganku mungkin si anak tersalah faham ataupun ibu tersalah terang berkenaan ‘potongan elaun harian’ anak ke sekolah. Sepatutnya tidak berlaku pemotongan ‘elaun’ apabila anak tidak habis menggunakan duit itu sebaliknya galakkan dia berjimat dan menabung. Sekiranya kita membuat penyelarasan duit bekal itu hanya kerana alasan duit semalam masih berbaki, itu tidak adil untuknya dan meranapkan motivasinya menyimpan duit. Apa kata sediakan tabung khas dan galakkan dia menyimpan tentu dia lebih seronok. Cara ini dapat mengelakkan dia cuba menghabiskan bekalan duitnya dengan apa cara sekalipun walaupun hanya memberikan begitu sahaja kepada rakannya.

Dalam kes kawan anak saya ini, tidak tahulah apa sebenarnya peraturan yang ditetapkan oleh ibunya. Kemungkinan besar, peraturan itu sudah betul demi kebaikan si anak, namun si anak pula tersalah faham. Semoga besar nanti anak ini jadi orang yang pemurah. : )

Hasil Nukilan :
Nurulhilyati Abdul Halim
Pemilik Raudhatunnaim.Com
nurulhilyati@fineacademy.com.my

Speak Your Mind

*