Hari Pertama Masuk Darjah 1
“Nu’aim, apa perasaan mula sekolah hari ini? Adakah Nu’aim rasa berdebar-debar?” Ibu bertanya kepada Nu’aim semasa dalam perjalanan.
“Berdebar-debar itu apa ibu?” Nu’aim bertanya sambil tersenyum. Melihat senyum manisnya itupun ibu sudah mendapat jawapannya. Tentu tidak sabar mahu berjumpa kawan-kawan baru. Tidak ada perkataan ‘berdebar-debar’ dalam kamus hidupnya lagi. Apa yang dia tahu, ’seronok’ sahaja.
Pukul 8.30 pagi ibu dan ayah menghantar Nu’aim ke rumah ummi. Ummi adalah nama panggilan kepada penjaga kanak-kanak di rumah transit. Walaupun pagi itu adalah kali pertama Nu’aim bertemu ummi, tetapi dia releks dan tenang sahaja. Tidak nampak pula riak wajah bimbang mahupun sedih. Melihat keadaannya begitu, hati ibu gembira dan berasa senang mahu meninggalkannya di situ.
Di pejabat, melihat jarum jam menunjukkan pukul 10.45 pagi, ibu terus mencapai handphone dan memanggil ummi Nu’aim bagi bertanya khabar berita. Ibu bersyukur mendengar berita positif daripada ummi tentang Nu’aim.
6.25 petang ibu tertinjau-tinjau mencari kelibat Nu’aim di tengah-tengah lautan pelajar Al-Amin. Kelihatan semuanya serupa sahaja. Selepas 5 minit baru ternampak Nu’aim pada bahagian belakang dalam barisan kelasnya, 1 Yaasir.
“Ibu seronoklah, Nu’aim sudah ada tiga orang kawan baru.” Nu’iam terus bercerita sebaik sahaja kami bertaut tangan ketika bertemu pada petang itu.
“Ha! mana stoking?” Ibu terpandang kaki Nu’aim yang tidak berstoking.
“Ntah, tidak tahu.” Senang sahaja jawapannya.
“Apa yang cikgu ajar hari ini?”
“Entahlah, banyak sangat sampai tidak tahu.Tidak tahu yang mana hendak buat dulu.” Ibu dan ayah tersenyum mendengarnya.
“Tentu cikgu banyak beritahu fasal peraturan itu ini. Confuse?”
“Ya, tahu pun,” katanya.
Banyak perkara dikongsi bersama. Kesimpulannya, hari pertama Nu’aim di sekolah berjalan lancar dan dia sungguh seronok hingga hilang stoking. Apa pula cerita hari yang seterusnya?
Hasil Nukilan :Nurulhilyati Abdul Halim
Pemilik Raudhatunnaim.Com
nurul@fauzulnaim.com
Artikel lain dalam kategori Coretan Nurulhilyati
- Ramadan Pertama 1431 H - August 12th, 2010
- Engkau Sentiasa di Sisi - August 7th, 2010
- Menikmati Kehidupan Sementara - July 20th, 2010
- Bercuti Di Gambang, Hadiah untuk Nu'aim - July 15th, 2010
- Balik Kampung Jun 2010 - June 18th, 2010










