Harmonikan kehidupan dengan berkata baik

0

Pernah kita berkecil hati dengan kata-kata orang lain? Sedarkah kita kadangkala tutur kata kita juga menyakitkan hati insan lain. Islam agama yang indah dan sempurna. Dari sebesar-besar perkara meliputi akidah, iman dan syariat hinggalah etiket betutur kata dijelaskan garis panduannya supaya kita menjadi hambanya yang baik dan bertakwa. Surah al-Isra’ ayat ` 53 Allah berkata yang bermaksud, “Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hambaKu (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang-orang yang menentang kebenaran); sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka (yang mukmin dan yang menentang); sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia. ” Di sini Allah berkata dengan jelas maksudnya supaya kita mudah memahami dan mengamalkan segala perintahnya. Ia bukan sahaja ditujukan kepada mereka yang menentang ajaran Nabi Muhammad, malah ayat ini buat semua manusia.

Ayat ini mengingatkan kita supaya berhati-hati semasa bercakap, pilih perkataan yang baik dan tepat dengan maksud yang ingin disampaikan supaya kata-kata kita tidak disalahertikan oleh pihak lain. Bercakap atau dengan istilah yang lebih luas maksudnya iaitu berkomunikasi, bukan sahaja meliputi erti berkata-kata, tetapi merangkumi cara kita menulis (surat, blog, sms, dsbg), memberi arahan, menasihat, menegur, bersyarah dan lain-lain. Kerja siapakah yang suka menyalahertikan maksud kata-kata orang lain? Sudah tentu syaitan laknatullah. Dia yang suka mengambil peluang menjerumuskan manusia ke lembah kehinaan, kehancuran dan pergaduhan. Dia yang suka mengapi-apikan manusia dan mempengaruhi hati manusia supaya melakukan perkara-perkara yang tidak disukai Allah Taala.

Kerja syaitan ini bukan sahaja mempengaruhi orang yang mendengar, malah dia juga beria-ia mahu mempengaruhi orang yang bercakap itu supaya bercakap kasar, menyindir, marah ataupun menengking orang lain. Begitulah manusia, sering sahaja terlalai dan terleka dalam bertingkah laku, berinteraksi dan menjalani kehidupan yang sementara ini. Jadi, marilah kita renungi diri masing-masing. Insafilah segala keterlanjuran kata-kata kita. Andainya kita silap, mohon kemaafan itu suatu yang sangat disukai oleh Allah dan Rasulnya. Memaafkan orang lain juga ada balasan baik menanti di sana. Ingatlah! hidup ini tidak lama, dunia hanya sementara. Mati dan kiamat itu bila-bila sahaja.

Hasil Nukilan :
Nurulhilyati Abdul Halim
Pemilik Raudhatunnaim.Com
nurul@fauzulnaim.com


Artikel lain dalam kategori Coretan Nurulhilyati

Speak Your Mind

Tell us what you're thinking...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!