Kami Sekeluarga di Port Dickson

Hari ini aku dan isteri bercuti daripada kesibukan suasana kerja di pejabat. Kami sekeluarga, aku, isteri, anak-anak, ayah dan mamaku, adikku, isterinya dan anak, kesemuanya ke Port Dickson. Sekarang ini menulis artikel di RN di salah sebuah kafe internet (mungkin satu-satunya,sebab cari punya cari ini je yang jumpa) di Bandar Port Dickson. Yang menarik lagi ini juga adalah bersempena percutian keluarga sebelah mama aku. Makngah dan Pakngah berserta anaknya Hafizal dan Tokcik Kiah dan Maksu dan anak-anaknya turut serta di sini.

Kami menginap di PD Perdana iaitu apartment time sharing berdekatan dengan Teluk Kemang. Menarik dan menyeronokkan. Ruangan terbaik bagi aku merefresh dan mendefragment kan otak aku yang sudah makin lama makin serabut. Bukan serabut dengan masalah, tapi banyak sangat perancangan yang perlu dibuat dalam otak ni. Aku akan ambil peluang ini bagi mengosongkan minda dan menyusun perancangan.

Banyak perkara yang semuanya merupakan impian dan wawasan aku. Isteri aku berkata satu hari dalam kereta semasa dalam perjalanan ke pejabat.

“Abang ni banyak sangat belon hendak diisi. Gas banyak itu sahaja, tapi belonnya banyak. Tak boleh hendak isi sama rata kesemuanya” Aku tersenyum :D

Memang betul apa yang dia cakap, sebab itu aku mula berfikir menstrukturkan balik perancangan 10 tahun aku. Apa yang aku ingin jadi dalam masa 10 tahun lagi. Adakah aku ingin dikenali sebagai seorang penerbit terkenal yang menghasilkan produk terbaik di Malaysia? Adakah ingin menjadi pakar motivasi? dan satu lagi ………….. (RAHSIA ;) )

Semua itu perlu mula disusun dan diletakkan dalam satu carta hidup yang jelas. Aku akui, aku ini bukanlah seorang yang sistematik sangat walaupun aku yang mensistemkan sistem editorial PTS. Sistematik dalam kehidupan maksud aku. Sekarang aku hendak mula sistemkan hidup aku. Hidup aku dan keluarga. InsyaAllah ruangan PD ini akan menjadi tempat merombak kembali taqwim hidup aku.

Serasi Bersama

Dalam percutian kali ini juga aku mendapat berita mengenai salah seorang sepupu rapat aku dah putus dengan girlfriendnya. Aku agak terkejut juga sebab kelihatannya mereka sangat rapat, berkepit ke sana sini. Aku memang kurang bersetuju dengan cara mereka itu sebab salah dari sudut agama dan moral. Agama dah mensistemkan kehidupan manusia ini cantik. Cuma kadangkala manusia yang tidak suka dengan sistem ataupun terlalai sebentar.

Dalam kes sepupu aku ini, sedikit sebanyak membuktikan bahawa keadaan mereka itu sebenarnya bukannya merapatkan tetapi merenggangkan. Semakin hari bukannya semakin serasi tetapi semakin tidak serasi. Sebab itu Islam menggagaskan agar pergaulan dibataskan agar wujudnya rahsia dan misteri dalam perhubungan. Apabila berkahwin misteri tersebut disingkap sedikit demi sedikit dan menyebabkannya kekal abadi sebab makin sayang. Jika ada kelemahan saling cuba membaiki, apabila ada kelebihan sama-sama meraikannya.

Namun begitu di luar perkahwinan, apabila tidak dibataskan misteri turut disingkap. Apabila kelemahan dilihat, masing-masing mula ingin mengkaji semula perhubungan sebab tiada ikatan roh yang sah. Dalam percintaan di luar perkahwinan roh tidak menjadi satu. Dalam perkahwinan ia satu dan saling melengkapi. Ini yang orang harus sedar.

Harapan aku agar situasi ini memberikan pengajaran kepada sepupu aku ini. Semoga dia mendapat pasangan yang lebih baik di masa depan. OK, aku berhenti hingga ke titik ini. Nanti aku sambung sebab tujuan aku nak bayar kad kredit je melalui internet. Hari ini tarikh akhirnya. :D

Hasil Nukilan :
Fauzul Na'im Ishak
Pemilik Raudhatunnaim.Com
md@fauzulnaim.com

Speak Your Mind

*