Kenyataan Islam Hadhari Hajjah Deja Moss 2 : Alah, saya pun hendak berfesyen juga, saya tak boleh tahan diri saya dari berfesyen macam orang lain. Saya ni artis, tau tak?
Hari ini aku baru pulang daripada kampung menghadiri kenduri kahwin bapa saudara sepupu kembar sebelah mama aku. Mereka ini sebaya dengan aku cuma kahwin lewat. Mereka berdua kahwin serentak.
Kemudian aku buka laman RN ni dan melihat ada beberapa komen yang menarik mengenai kritikan aku di ruangan Apa-apa je Lah mengenai Hajjah Deja Moss. Ada yang memberikan komen positif dan ada yang negatif.
Walauapapun di sini aku ingin petik wawancara wartawan dengan Hajjah Deja Moss di Pancaindera. Entahlah! Bagi yang memberikan komen bahawa dia sudah insaf cubalah baca wawancara ini dan hayatinya.
Sumber Mingguan Malaysia 3 Disember 2006 dalam PANCAINDERA
Sungguh, saya serba salah untuk bercakap soal ini dengan Deja. Tetapi atas dasar profesional saya beranikan juga diri untuk menghubunginya, bertanya dan mendengar sendiri suara hati seorang “Deja Moss’’ pada saat-saat namanya teruk dihentam di Internet.
Sekeping gambar dengan aksi nyanyian dan pakaian yang menjolok mata membuatkan banyak yang tersinggung. Sekarang gambar “maut’’ itu terpampang di dalam banyak laman web, di Internet. Sebagai wanita Timur dan Melayu, semua ini mencemarkan nama baik Deja.
Banyak yang marah-marah. Banyak yang melahirkan rasa kesal sehinggakan Deja sendiri tidak mahu melayan panggilan daripada rakan media untuk memintakan mengulas isu berkenaan.
SMS saya yang pertama tidak berbalas. Kata Deja, dia tidak mahu tersalah cakap, nanti tersalah pula penerimaan orang. Tetapi bila saya katakan penting untuk saya ketahui bagaimana reaksinya pada masa ini, dia akhirnya sudah Tolong Jawab perkara ini.
Kenapa Deja pakai baju macam itu?
Saya tahu saya buat silap. Tetapi jangan menghina saya dengan cara macam ini. Orang yang buka aib orang lain tak eloklah. Tahulah balasannya nanti. Kalau saya terkhilaf, saya tersalah saya sendiri yang tanggung, kenapa perlu dijaja-jaja macam ini?
Mungkin mereka mahu menyedarkan?
Kalau hendak memberi kesedaran, hendak nasihat datang dan nasihati saya. Saya tak akan marah. Saya ucapkan terima kasih lagi. Jangan buat saya malu macam ini.
Dari isu hangat ini apa yang paling membimbangkan Deja?
Sudah tentu saya kecewa, tetapi saya kena tabah. Yang terjejasnya dalam kalangan peminat, mereka tentu akan kata macam-macam kepada saya. Dan keutamaan saya ialah keluarga sebab itu saya marah bila benda ini sengaja ditimbulkan. Dia (orang yang menyebar) tak fikir ke dia pun ada keluarga juga? Hati siapa yang telah dia luka sekarang ini?
Deja memang suka berpakaian seksi dalam show macam itu?
Itu show korporat. Tak ada pihak luar yang datang. Penonton lebih kurang 300 orang saja banyak bangsa lain pula tu. Sebab itu saya sendiri hairan kenapa gambar itu dieksploitasi sebegitu rupa sekali kepada pihak luar yang tidak ada kena-mengena dengan show pada malam itu. Itu yang buat saya geram sangat. Yalah, saya ni artis. Kadang-kadang kita rasa pakaian kita sudah okey, tetapi orang tak suka. Kadang-kadang orang suka, kita pula tak suka. Itu kekurangan masing-masinglah. Saya pun manusia, saya juga buat silap.
Deja tengok tak gambar yang tersebar tu?
Gambar tu saya tak tengok pun. Saya dapat tahu pun daripada kawan-kawan. Dia orang yang dapat e-mel itu. Dia orang hendak ‘forward’, tetapi saya tidak hendak.
Kenapa tak sanggup hendak tengok gambar sendiri?
Kalau saya tengok gambar tu saya akan lebih teruk lagi. Saya akan ‘habis’ teruk. Saya tak sampai hati hendak tengok sebab saya tak mahu kecewa lagi. Tapi dalam kehidupan harian saya, saya tahu apa yang saya buat, kita masih waras lagi. Dengan syarikat ini pun saya sudah tujuh tahun bekerjasama, soalnya kenapa jadi macam ini sekarang? Sebelum ini saya tak pernah ketinggalan untuk buat show dengan mereka tapi tidak pernah kena pula. Ini show korporat, jadi saya kena buat betul-betul. Kehidupan saya macam ini, saya seorang penyanyi. Saya sedih sebab ada pihak yang ambil kesempatan dari atas kekhilafan diri saya.
Agaknya kenapa gambar itu disebarkan?
Benda itu disebarkan dengan tujuan untuk memalukan saya. Saya pasti. Kerana gelaran hajah saya, macam itu?
Sebab saya selebriti serba-serbi orang hendak tahu? Di sini saya pun hendak kena minta maaf kepada mereka yang dapat e-mel itu. Saya minta maaf sangat-sangat sebab mereka dapat gambar-gambar itu kerana tindakan seorang saja yang tidak bertanggungjawab.
Sebagai selebriti dan wanita Melayu, bukankah Deja sepatutnya lebih berhati-hati?
Benda sudah terlepas tidak boleh buat apa lagi. Tak boleh buat apa-apa. Saya tak minta benda ini terjadi, saya selalu doakan yang baik untuk hidup. Hari-hari saya doakan yang baik saja berlaku. Tapi kalau hendak jadi juga hendak buat macam mana lagi. Jadi saya kena diam sajalah. Saya sebenarnya sangat kecewa dengan benda ini semua. Saya tak tahu kenapa ini semua berlaku kepada saya. Mungkin inilah cabaran dan natijah dari apa yang saya sendiri menjadi puncanya.
Selepas gambar itu tersebar, bagaimana keadaan Deja?
Saya kecewa, hendak jumpa orang pun susah, saya malu. Tetapi sekejap saja. Saya kena bangkit semula. Ini adalah cabaran untuk saya jadi manusia yang lebih kuat dan tabah. Semoga pada masa depan saya tak akan ulangi kesilapan yang sama lagi.
Apa pengajaran dari insiden ini?
Kena lebih berhati-hati dengan apa yang saya buat, apa yang saya cakap dan apa yang saya pakai. Tapi yang saya kesalkan sangat mengenangkan kerja orang yang tak bertanggungjawab macam ini. Ini kerja orang pengecut.
Kalau mahu kenakan saya, belasah saya datang sajalah pada saya. Jangan membabitkan pihak lain. Dengan buat macam ini mereka sudah memalukan semua orang yang ada kaitan dengan kehidupan saya. Mereka malukan keluarga saya, sakitkan hati ibu bapa saya. Sekarang keluarga saya juga tertekan. Dengan e-mel macam ini bermakna mereka mencerobohi kehidupan saya. Pengecut saja buat macam ini. Kalau tak puas hati datang jumpa. Saya pun manusia biasa juga, saya bukan malaikat. Kalau saya buat salah tegur saya, jangan malukan saya macam ini. Ini ke kerja orang yang baik? Tapi saya banyak belajar. Saya belajar jadi lebih berhati-hati. Ke mana dan di mana dan apa yang saya hendak pakai saya akan lebih berhati-hati lagi supaya tidak akan timbul hal-hal tidak baik lagi macam ini.
Mungkin ada yang akan kata ini bukan kes pertama, kenapa terjadi lagi?
Insiden pertama dulu memang di depan khalayak. Selepas itu tak ada dah, tetapi tak sangka pula timbul lagi dengan kes ini. Semua ini di luar kuasa saya. Alah, saya pun hendak berfesyen juga, saya tak boleh tahan diri saya dari berfesyen macam orang lain. Saya ni artis, tau tak? Ini kerja saya, saya cari makan macam ini. Tapi tak apalah. Okey, kalau saya salah, saya minta maaf banyak-banyak. Tetapi macam mana dengan orang yang tak bertanggungjawab itu? Yang sudah sebarkan aib saya itu? Orang itu pun sepatutnya minta maaf kepada saya jugakan?
Bagaimana Deja terima kalau selepas ini nama Deja akan terus dikaitkan sebagai artis yang tak sopan?
Saya akan jadi orang yang kecewa. Tetapi persepsi orang apa kita hendak buat. Memang susah hendak jaga gelaran kita. Lebih susah lagi sebab saya masih muda dan ditambah dengan kerjaya macam ini. Tetapi saya tahu diri saya macam mana. Banyak benda baik berlaku dalam hidup saya sejak saya balik (dari Mekah), tetapi hanya saya saja yang tahu. Ada orang tanya saya pernah ke menyesal pergi masa umur masih muda? Tidak, saya tak pernah menyesal. Hari-hari saya bercakap benda yang baik-baik kepada-Nya, apakah saya perlu ceritakan itu semua kepada orang. Ada kalanya kita buat kerja-kerja kita rasa okey, tapi orang lain nampak tak okey.
Apakah Deja mahu mengambil sebarang tindakan kepada pihak yang mengedarkan gambar berkenaan?
Tak boleh cakap sekarang, saya kena tunggu maklum balas dari beberapa pihak. Saya masih lagi mencari orang yang bertanggungjawab itu. Saya cuma hendak tahu siapa orangnya. Ini tentang reputasi saya. Saya tak suka kalau macam ini. Tak apalah, semoga Tuhan merahmati orang yang menghantar gambar itu. Biarlah dia sedar apa yang dia buat.
Cepat atau lambat dia dapat juga bahagian dia. Membuka aib orang pun bukan orang baik namanya tu.
Komen RN :
Hajjah! Biarpun Hajjah berada di kalangan 300 orang ke, 10 orang ke hatta sekali 1 orang yang memang bukan muhrim HajjahTak kiralah yang hadir orang luar ke, korporat ke, keparat ke, ia tetap tidak boleh dan berlawanan dengan hukum Islam. Yang HARAM itu JELAS dan HALAL itu JELAS. Dalam kes ini tidak boleh mengatakan orang lain ingin mengaibkan sesiapa kerana perbuatan ini bukanlah dikira mengaibkan sebab si pembuat jelas melakukannya di khalayak ramai. Bukannya dia buat dengan suami ke, adik beradik ke, mak ayah ke, Jika memang tertutup untuk orang yang dikatakan sebagai haram berkahwin dikira OKlah. Namun begitu ia jelas di khalayak ramai. Hajjah…. Hajjah..! Mana hukum Hajjah guna.
Kemudian Hajjah berkata bahawa Hajjah ini artis, memang suka berfesyen. Betul memang perlu berfesyen tetapi fesyen yang bagaimana? Bukannya buka sana sini. Ada artis yang lain pun berfesyen tetapi tidak bersalahan dengan agama. Mengapa tak ikut yang itu?
Satu lagi pernyataan angkuh yang Hajjah tidak menyesal itu perlulah diinsafi. Jangan bersikap angkuh dengan apa yang ditetapkan agama. Rosak akidah Hajjah. Hajjah suruh orang menegur terus dan menasihati Hajjah. Banyak saluran yang boleh dibuat dan melalui laman ini salah satunya. Jika ingin katakan pengecut, aku tidak pula menyembunyikan identiti aku. Aku ini hanya menegur untuk kebaikan Hajjah dan orang yang mengikuti perkembangan Hajjah. Semoga kita sama-sama di dalam lindungan Ilahi.
Hasil Nukilan :Fauzul Na'im Ishak
Pemilik Raudhatunnaim.Com
md@fauzulnaim.com
Artikel lain dalam kategori Apa-apa Je Lah
- Tun Dr. Mahathir Mengaku Dia Aniaya Dato' Seri Anwar Ibrahim, Masa Untuk Berubah!! - February 26th, 2008
- Dalam Akhbar Berita Harian 29 November 2007 - November 29th, 2007
- HINDRAF : Al-Jazeera Reports - November 26th, 2007
- Aku Tak Mengakulah Dia Ini Menteri Malaysia (Dengar Jawapan Dalam Video Ini) - November 26th, 2007
- Jawapan Matang Anwar Mengenai BERSIH - November 26th, 2007









