3 Mei lalu, hari Ahad cuti hujung minggu yang penuh makna. “Cuti, memang seronok.” Masa beginilah sesuai digunakan bagi melakukan aktiviti peribadi, hobi, melayan kehendak diri dan melakukan perkara yang sudah lama ingin dilakukan namun tiada kesempatan.
Mentua tiada di rumah, mereka ke Parit Buntar menghadiri kenduri kawin saudara terdekat. Memandangkan diri ini sudah menunggu hari, maka kami anak beranak tidak ikut ke sana. Tugas ke pasar yang biasanya dilakukan oleh bapa mentuaku, diambil alih oleh aku sendiri. “Abang tak payah ikut ke pasarlah, tinggal di rumah saja dengan anak-anak.” Cadangan aku itu, terus dipersetujui oleh cik abang kerana baginya menghadap laptop dan internet jauh lebih seronok daripada ke pasar yang serabut, ataupun menunggu aku di kereta sementara aku menikmati keserabutan pasar. Bagi aku pula aku lebih seronok ke pasar seorang diri kerana perancangan aku lebih mudah terlaksana apabila aku seorang diri. Apabila cik abang ikut, aku kurang bebas ke sana sini. Hendak teliti barang-barang pun tidak sempat kerana cik abang asyik hendak cepat sahaja. Orang lelaki, biasalah. Dan satu lagi, apabila cik abang ikut maka tentera-tentera kecilku berderetan ikut sama, lagi la rimas. Seorang lebih baik.
Maka dengan perut yang sudah sarat, aku memandu avanza ke pekan bentung. Oleh kerana aku sedar aku sudah sarat, aku menagmbil beberapa langkah berjaga-jaga apabila keluar seorang diri antaranya memastikan handphone dibawa bersama dan merancang tidak membawa barang terlalu banyak dikhuatiri menjejaskan diri dan kandungan.
“Mahu makan terubuk bakarlah hari ini.” Ikut pesan orang tua, selepas bersalin ikan terubuk ni perlu dipantang agak lama. Bisanya sangat kuat hingga boleh menyebabkan ibu lepas bersalin terkena kancing gigi. Ikut cerita mentua aku, ramai sudah orang yang mengalaminya. Jadi, eloklah aku makan ikan terubuk bakar hari ini. “Teringin nak makan tembikai.” Tembikai pun kena pantang juga lepas ni. “Nyonya bagi tembikai yang separuh tu,” sengaja pilih yang separuh kerana tidak larat hendak ‘usung’ sebiji tembikai. Puas hati.
Selesai membeli-belah di pasar, “Jom! pi kedai kain pula.” Di sana aku pilih 2 jenis kain kartoon, mickey dan donald bagi membuat cadar untuk 2 orang putera aku. Sudah lama aku hendak menjahit. Aku tidaklah pandai sangat menjahit. Masa aku bujang dulu, baju kurung aku buat sendiri. Tetapi sejak kawin dan bekerja, tidak pernah buat sendiri lagi. Maka pada hari itu juga aku keluarkan mesin jahit yang sudah lama tidak diusik dan menjalankan projek buat cadar. Saja hendak cuba mesin jahit yang baru diperbaiki.
Tengah hari itu dapat makan terubuk bakar, sambal keli, sayur bendi dan tembikai. Aku masak bendi kerana Isyraf memang hantu bendi. Puas hati lagi.
Sambil-sambil melayan keluarga pada hujung minggu, aku laksanakan projek cadar. Aku perlu siapkan malam ini juga 2 set cadar ini bersama sarung bantalnya. Andainya aku bertangguh, pasti kurun ke berapa pula aku akan sambung menjahit cadar-cadar ini. Akhirnya, 2 set cadar siap pada malam itu. Puas hati lagi.
Aku masuk tidur dengan senyuman, kerana banyak perkara yang memuaskan hati aku hari ini. Lena aku dikejutkan oleh rasa sakit pada bahagian perut. “Aha! ermmm rasa apakah ini? Sudah tibakah masanya? Betulkah ini tandanya ataupun sekadar sakit biasa?” Aku berteka-teki seorang diri dalam kesuraman cahaya lampu tidur. Aku mengerling jam di dinding, 2 pagi. “Tidak mengapa, tunggu dulu dan tengok perkembangan rasa sakit ini.” Aku tidak dapat sambung tidur lagi. Lantas aku bangun dan berfikir tentang program latihan staf PTS esok hari. Terus buka laptop buat kerja sedikit. Semakin lama aku semakin yakin masa melahirkan sudah tiba kerana rasa sakit semakin kerap dan semakin keras. Namun aku sempat e-melkan kerja-kerja yang perlu dilakukan esok kepada teman sepejabatku supaya beliau dapat meneruskan dan menggantikan aku sepanjang minnggu program latihan staf PTS. Jam menunjukkan pukul 4 pagi, aku kejutkan suamiku dan pembantu rumah. Minta pembantu rumah menjaga anak-anakku yang sedang nyenyak tidur. Suamiku sempat bersiap hensem-hensem hendak hantar aku ke hospital, “Amboi! hensem sangat aih. Nak ke hospital tengah malam pun hensem-hensem. Selalunya tidaklah begini kalau sekadar keluar ke Bentung,” tegurku. “Yalah! semangat hendak sambut anak perempuan lahir ni,” katanya.
Alhamdulillah, proses kelahiran kali ini jauh lebih mudah dan cepat berbanding yang lepas. Rasa sakitnya tetap sama. Kontraksi keras yang tidak tertahan itu bermula jam 5.30 pagi. 7.50 pagi dimasukkan ke dalam bilik bersalin. 8.05 pagi lahirlah puteri kami, Nur ‘Aisyah Humaira’. Sungguh puas hati dan syukur kepadaNya dapat menyentuh bayi aku buat pertama kali pada pagi itu.
Hasil Nukilan :Nurulhilyati Abdul Halim
Pemilik Raudhatunnaim.Com
nurulhilyati@fineacademy.com.my