Marketing Islam ; Menjadi Pegawai Pemasaran Yang Baik

Aku baru sahaja memberikan ceramah penulisan dalam satu program di Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya.Berceramah di bekas universitiku adalah satu memori yang cukup menarik. aku pernah juga dijemput memberikan bengkel penulisan di Fakulti Pendidikan UM. Yang menariknya ada di kalangan pensyarah yang hadir bengkel tersebut adalah bekas pensyarahku. Memang nostalgik betul.

Berbalik kepada bengkel semalam, ada 21 mahasiswa dan bekas mahasiswa yang mengikuti ceramah aku semalam. Kesemuanya Alhamdulillah mempunyai keazaman untuk menjadi pendakwah dalam apa sahaja ruang (tak tahulah, aku tengok semuanya memberikan tumpuan yang baik semasa aku berceramah. Nak kata sebab apa, entahlah. Mungkin sebab aku garang kot semalam). Bengkel bermula jam 9 dan berakhir jam 12.30 tengah hari.

Alhamdulillah masih ada kumpulan mahasiswa yang berminat menganjurkan program melatih pendakwah. Aku ucapkan tahniah kepada penganjur.

Islam Jenama Produk Terbaik

Semalam aku ada tekankan bahawa sebagai seorang pendakwah kita harus bertindak seumpama pegawai pemasaran yang berminat memasarkan produk. Sebagai seorang pegawai pemasaran kita seharusnya membuat persiapan diri yang baik. Antara ciri-ciri pegawai pemasaran yang baik adalah :

  1. Mesra pelanggan
  2. Mempunyai PR baik
  3. Mempunyai kemahiran persuasif tinggi
  4. Mempakejkan persembahan produk menjadi baik (walaupun kadangkala produknya buruk)
  5. Product Knowledge yang baik

Dalam kes sekarang terutamanya mahasiswa dalam kampus. Kumpulan pro Islam selalunya lupa mengenai menjadi pegawai pemasaran yang baik. Sudahlah muka tak tahu senyum. Pakaian yang dipakai menakutkan sesiapa yang mendekat. Coklat, kelabu, hitam menjadi warna rasmi. Kalau berpakaian terang dikatakan tidak ‘thiqah’. Bagaimana orang ingin dekat dengan Islam sebab masing berpandangan Islam ini bersifat elitis hanya orang tertentu sahaja.

Kesemua ini perlu diubah agar Islam ini dilihat agama ‘uptodate’. Agama untuk semua. Cara berpakaian, cara bercakap, cara mendekati ‘mad’u', cara mengorganisasikan persatuan ataupun aktiviti yang mengambil kira semua tak kira kaum dan agama. Ini yang perlu ditonjolkan dalam cara Islam sebenar. Bukanlah kita mahu menukar semua sekali sistem kepercayaan jemaah dalam kampus. Cuma perlu ada perkembangan dan perubahan.

Islam adalah jenama yang baik dengan rangkaian produk terbaik. Cuma apabila pendakwah ataupun orang agama tidak berjaya menjadi pegawai pemasaran terbaik ini menyebabkan kita tidak dapat menjual Islam kepada sasaran.

Produk Buruk, Pemasaran Bagus, Boleh Jual

Dalam pengalaman aku menjadi pengurus di PTS, produk yang buruk tetapi pemasaran baik boleh dijual dengan baik di pasaran. Kadangkala aku melihat isinya taraf picisan sahaja tetapi orang ‘makan’ juga sebab pemasaran yang baik. Inilah bezanya kita dengan para pendakwah agama lain. Produk mereka tidak dapat melawan produk Islam. Namun begitu usaha dakwah yang bersesuaian dengan spesifikasi citarasa semua golongan menyebabkan mereka berjaya berbanding Islam. Slogan ‘Christ Is Love’, ‘Buddhist Is Serenity’ dan pelbagai lagi menjadikan ia agama menarik bagi didekati.

Berubahlah Wahai Pendakwah

Kita sekarang perlu berubah. Berubah menjadi pegawai pemasaran yang baik. Sediakan diri dengan pengetahuan dan kemahiran yang perlu sebagai pegawai pemasaran terbaik. Ayuh kita pacu kembali kegemilangan Islam masa silam

Hasil Nukilan :
Fauzul Na'im Ishak
Pemilik Raudhatunnaim.Com
md@fauzulnaim.com

Speak Your Mind

*