Alhamdulillah bondaku sudah selamat dibedah matanya semalam jam 11 pagi. Matanya sudah dibuang selaput katarak dan dimasukkan kanta baru. Namun begitu bondaku perlu banyak berehat dan tidak boleh buat kerja berat. Diibaratkan dia tidak boleh angkat benda seberat roti sekalipun. Fuhh!!!! Stress mendengarnya.
Bondaku perlu banyak berpantang, tidak boleh makan makanan laut kecuali ikan yang tak gatal. Susah juga tu tapi tak mengapa aku akan berusaha mendapatkan yang terbaik untuknya. InsyaAllah hari ini boleh pulang ke rumah semula.
Aku juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada yang melawat bondaku ketika di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah. Toksu berdua, Noni, Arief dan Zain mewakili rakan-rakan PTS. Jasa kalian hanya Allah dapat membalas.
Masjid Yang Menangis
Semalam kami bertolak daripada Hospital Termeloh dalam jam 6.15 petang. Masa tu hujan lebat sungguh. Apa lagi aku redah hujan untuk mengambil kereta dan membawanya ke kawasan berbumbung bagi mengambil ahli keluargaku yang turut serta. Bonda mertuaku, isteriku, anak-anakku, adikku, iparku dan anak mereka serta ayahku.
Dalam perjalanan ketika hampir waktu Maghrib aku memperlahankan kereta bagi mencari masjid terdekat. Ketika berdekatan dengan satu kawasan aku ternampak ada satu masjid yang kelihatan agak baru tetapi nampak gelap. Sedangkan pada masa itu sudah jam 7 malam, hampir masuk waktu Maghrib. Ayah aku kata masjid masih tak berfungsi, namun begitu aku bertekad untuk singgah juga ke sana.
Aku masuk ke dalam masjid dan membuka lampu masjid. Melihat masjid itu masih baru dan lengkap segala peralatan. Kemudahan lain cukup lengkap dengan tandas yang baik serta ruangan wudhu yang cantik. Namun begitu menyedihkan tiada jemaah yang datang mengimarahkan masjid tersebut. Tiada suara azan berkumandang pada waktunya. Aku cuba mencari suis microphone tetapi tidak ditemui. Pada ketika yang sama ada beberapa pengunjung juga seperti kami sekeluarga, singgah bertemu Allah.
Apakah yang sebenarnya berlaku di masjid ini? Ke manakah imam dan bilal yang mendapat elaun bulanan daripada kerajaan negeri? Ke manakah para jemaah yang berdekatan dengan masjid. Di hadapan masjid tersebut ada sebuah rumah yang bercahaya, tetapi ke manakah ahli jemaah daripada rumah tersebut? Adakah rumah itu penduduknya bukan orang Islam? Tidakkah mereka tahu hukumnya berdosa apabila tiada seorang pun ahli kariah mengimarahkan masjid? Tidak mereka tahu bahawa ia adalah fardhu kifayah?
Apabila selesai menunaikan solat maghrib berjemaah, aku bersembang dengan seorang ahli yang rasanya penduduk di situ. Dia memberitahu dia adalah anak bekas bilal di situ. Namun begitu disebabkan berlaku masalah politik semua ahli dahulu dibuang dan digantikan dengan ahli jawatankuasa baru. Imam dan bilal baru. Namun begitu mereka itu tidak pernah datang ke masjid kerana masih bertelagah. Imam dan bilal hanya mendapat elaun secara percuma tanpa melakukan tugas. Dia datang ke masjid pun kerana tak mahu ahli kariah menanggung dosa.
Pelik tapi benar, masjid yang cantik tetapi tiada penghuni. Inilah masalahnya apabila institusi masjid dipolitikkan. AJK masjid perlulah dari kalangan ahli parti pemerintah. Imam dan bilal pula daripada lantika mereka. Pengalaman aku di Kampung Serdang, kampung halamanku perkara sama berlaku. Pengerusi surau adalah juga pemilik kedai karaoke disebabkan lantikan politik. Memanglah takkan datang ke masjid. Sepatutnya berikanlah tanggungjawab kepada yang haknya.
Allah memberitahu dalam surah At-Taubah Ayat 18
“Hanya yang berhak memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang yang percaya kepada Allah dan hari kemudian, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, serta tidak takut melainkan Allah, mudah-mudahan mereka mendapat petunjuk daripada Allah Taala”
Jadi sebelum melantik tengok-tengoklah siapa yang selalu datang ke masjid pada waktunya. Barulah melantik, jangan kerana politik orang yang tak pernah jejak kaki ke masjid, kaki nombor ekor, kaki karaoke, kaki tak sembahyang dan hanya datang waktu majlis ada menteri dapat jawatan yang bukan haknya.
Manakah orang Jabatan Agama Islam Pahang? Tak tahukah ada dosa yang berlaku di daerah ini? Ke manakah Raja yang memegang jawatan sebagai ketua agama negeri? Ke manakah Menteri Besar yang selalu mengatakan ingin tegak agama Islam di bawah panji-panji Islam Hadhari? Mana? MAna? MANa? MANAAAAAAAAAAA????
Kami sekeluarga keluar dan berhenti di pintu luar yang ada papan tanda masjid. Bertulis dalam huruf jawi “MASJID KAMPUNG DESA BAKTI, MENTAKAB, PAHANG DARUL MAKMUR” Masjid menangis menitiskan air matanya…….!!!
Hasil Nukilan :Fauzul Na'im Ishak
Pemilik Raudhatunnaim.Com
md@fauzulnaim.com