Hadis ke-12: Akhlak Abu Hurairah kepada Ibunya

Antara akhlak terpuji sahabat Nabi, Abu Hurairah adalah ketaatannya kepada ibunya. Dalam kitab Al-Adab Al-Mufrad dalam bab Mentaati Ibu Bapa pada hadis ke-12 ada menerangkan ucapan-ucapan salam dan doa kedua-dua beranak antara Abu Hurairah dengan ibunya.

Maksud hadis itu berbunyi begini, Abu Hurairah tinggal berasingan dengan ibunya.  Apabila dia mahu keluar, dia akan berhenti di pintu rumah ibunya dan berkata, “Salam sejahtera kepada kamu, ibu, dan rahmat Allah dan berkat-Nya.” Beliau memberi salam kepada ibunya.

Ibunya akan menjawab, “Dan kesejahteraan dilimpahkan kepada kamu, anakku, dan rahmat Allah dan berkat-Nya.”

Kemudian Abu Hurairah berkata lagi, “Semoga Allah memberi rahmat kepada ibu sebagaimana ibu membesarkan saya semasa saya kecil.”

Ibunya menjawab pula, “Semoga Allah memberi rahmat kepada kamu kerana kamu berbakti kepada saya apabila saya sudah tua.” Apabila beliau mahu masuk ke dalam, dia akan melakukan sesuatu yang sama.

Lihatlah betapa terpujinya akhlak Abu Hurairah terhadap ibunya. Saling mendoakan antara satu sama lain. Bagaimana dengan kita? Adakah ia hanya menjadi tradisi semasa kecil, semasa ibu ayah kita menghantar kita ke sekolah lalu kita mencium tangan dan memberi salam kepada mereka. Apabila dewasa, adakah kita keluar rumah tidak perlu dikhabarkan kepada ibu ayah yang ada di samping kita? Begitulah indahnya akhlak Islam sehingga perkara sebegini halus dan terperinci dirakamkan dalam hadis.

P/s: Belum telefon mama di kampung lagi, jom telefon sekarang!

 

Hasil Nukilan :
Nurulhilyati Abdul Halim
Pemilik Raudhatunnaim.Com
nurulhilyati@fineacademy.com.my

Speak Your Mind

*