Selepas April 2010, banyak perkara berlaku. Antara perkara besar yang berlaku, saya bukan lagi pekerja tetap di PTS. Jawatan terkini adalah sebagai consultan editor PTS. Seminggu hanya 2 hari di PTS, selebihnya 3 hari lagi di FNSB.
Kini, masa kerja juga lebih fleksibel. Kalau dulu, hari-hari kerja masuk pukul 9 keluar pukul 5.45. Ada ketikanya dari pagi duduk di kerusi hingga petang. Makan, solat dan rehat seadanya hanya kerana mengejar produksi. Letih mata dan lenguh bahu, leher dan badan bukan main, namun diabaikan demi menyiapkan tugasan.
Semuanya tinggal kenangan. Apa yang diperoleh semuanya ilmu, pengajaran dan pengalaman. Akhirnya, mengambil keputusan berhenti daripada melakukan kerja ‘menghadap’ skrin komputer itu bagi menumpukan perhatian kepada syarikat sendiri. Sebelum berhenti ada juga terdetik, ‘Ah! nanti pasti aku merindui tugasan yang sekian lama aku lakukan ini.’ Namun hingga kini rindu itu tidak pun menjelma. Entah mengapa. Mungkin sedang berbahagia dengan kehidupan sekarang langsung melupai kehidupan lepas. Ya, diakui kehidupan ini menjadikan diriku dapat mengawal masa kehidupan ini dengan lebih berkesan. Segala yang berlaku di sekitar kehidupan dapat dihayati dan dinikmati. Apa yang lebih penting, dapat mendahulukan anak-anak berbanding perkara lain. Ya, anak-anaklah hartaku yang tidak dapat dirampas oleh sesiapa, melainkan Penciptanya sahaja. Muhammad Iqbal Nu’aim, Muhammad Isyraf Idraki dan Nur ‘Aisyah Humaira’, ibu sayang kamu semua.
Hasil Nukilan :Nurulhilyati Abdul Halim
Pemilik Raudhatunnaim.Com
nurulhilyati@fineacademy.com.my
