Baik betul anak bertuah ibu yang sorang ini. 2 minggu sebelum datang Ramadan, minta hendak puasa katanya sebagai persediaan puasa Ramdan. Ini pengaruh rakan-rakan tadika. Pengaruh yang baik. Alhamdulillah, walaupun tidak tahan dahaga pada petang hari namun digagahi jua apabila diberi sokongan oleh ibu dan ayah. Akhirnya berjaya juga berpuasa penuh satu hari buat pertama kali dalam hidupnya.
Kini sudah masuk hari keempat berpuasa. Tiada masalah untuk Nu’aim berpuasa. Setakat hari ini dia berjaya melaksanakan ibadah puasa dengan baik. Cabaran bertambah apabila berpuasa di rumah kerana cuti sekolah. Nu’aim terpaksa menelan air liur dan menghidu bau kuah laksa yang dimakan oleh Isyraf. “Ermm sedapnya bau kuah laksa ini,” kata Nu’aim sambil memuncung mulut dan memejam mata menghayati aroma kuah laksa. Kasihan budak baru belajar puasa ni. Pernah suatu petang, belum lagi tiba waktu berbuka, Isyraf datang kepada Nu’aim dengan membawa sebekas ais krim. Mujur Nu’aim sabar.
Si Isyraf pula, orang sibuk hendak berbuka puasa dia sibuk mahu mandi buih sabun. Apabila dipujuk, “Sudahlah Isyraf, semua orang mahu buka puasa,” cepat sahaja keringkan badan. Sesampai di meja makan dia berkata sambil matanya mencari-cari sesuatu,” Ibu, mana ‘buka puasa’? Apa, ingat ‘buka puasa’ itu sejenis kuih agaknya.
Hasil Nukilan :Nurulhilyati Abdul Halim
Pemilik Raudhatunnaim.Com
nurulhilyati@fineacademy.com.my