Bekerja sebagai seorang penerbit adalah satu kelebihan dan keistimewaan yang jarang diperoleh oleh orang lain. Ada yang setuju ada yang tidak bersetuju. Namun begitu pada pandangan aku dan pengalaman aku ia boleh dibuktikan. Sejak 6 tahun menjadi penerbit aku bertemu dan bergaul dengan pelbagai jenis individu dan kumpulan. Daripada yang tidak dikenali hinggalah terkenal. Daripada individu yang intelektual, alim dan waras hinggalah sebaliknya. Daripada individu memegang kepercayaan imam syafie, sunni, syiah hinggalah kepada al-arqam. Daripada kumpulan kerajaan hinggalah kepada pembangkang.

Kesemua ini memberikan aku perspektif fikiran yang lebih global dan membumi. Global di sini dimaksudkan sebagai pandangan menyeluruh mengenai pelbagai perkara. Melihat pandangan orang dengan teropong rasional dan bukannya minda ‘rigid’. Membumi pula memandang sesuatu perkara sampai ke akar umbi. Ini adalah ruangan yang menjadikan lebih matang daripada hari ke hari. Pada pandangan aku, jika aku teruskan dengan cita-cita terdahulu menjadi jurutera berijazah belum tentu peluang ini aku peroleh.
Dato’ Dr. Haron Din Yang Alim
Semalam aku bersama seorang penulis Ahmad Naim Jaafar berkunjung ke rumah Dato’ Dr. Haron Din. Beliau seorang tokoh agama yang dikagumi dan dihormati oleh seluruh pelosok tanahair. Walaupun beliau sudah memilih berada di barisan pembangkang, tetap dihormati pandangannya oleh semua pihak walaupun orang parti kerajaan.
Kunjungan ini bagi memulakan satu projek baru di bawah PTS Millennia Sdn Bhd yang dirancang pelancarannya dalam suku tahun kedua tahun ini. Projek pertama bersama beliau sudah berjaya diterbitkan. Iaitu buku ‘Dato’ Dr. Haron Din Menjawab Persoalan Fikah Harian’ Alhamdulillah banyak perkara yang sudah dimulakan dan pada pandangan aku ia mengikut jadual yang dirancang. Pelbagai kisah dikongsi oleh Dato’ Dr. Haron bersama kami, kisah tersebut akan dimuatkan dalam buku yang bakal terbit. Jadi tak perlulah aku cerita di sini.
Namun begitu apa yang aku ingin ceritakan adalah kesempatan bertemu dengan seorang tokoh ulama’ dan pakar perubatan Islam adalah peluang yang amat berharga. Perkongsian sihat bersama beliau memberikan pandangan segar mengenai Islam. Betapa Islam adalah suatu ‘Ad-Din’ yang global. Pemikiran Dato’ Dr. Haron Din amat global dan kontemporari. Melihat pelbagai perkara daripada sudut yang cukup membumi. Ini memberikan persepsi baik mengenai Islam.
Peluang pertemuan begini memang aku tidak akan lepaskan dengan bertanya pelbagai pendapat dan pandangan beliau mengenai pelbagai perkara. Daripada isu semasa hinggalah isu agama. Ini yang aku katakan peluang jarang ada di pihak lain. Peluang yang datang sebab aku seorang penerbit.
Alhamdulillah aku bersyukur sebab Allah memberikan ruangan ini. Terima kasih wahai Tuhanku…. !!!
Hasil Nukilan :Fauzul Na'im Ishak
Pemilik Raudhatunnaim.Com
md@fauzulnaim.com

Itu macam untuk cover kulit buku Cerita Motivasi Untuk Pemimpin. Hmmmm
Terima kasih di atas pandangan yang diberikan. Sebenarnya saya tak terfikir pun nak letak gambar ni pada buku tulisan saya dengan DMFK. InsyaAllah boleh dipertimbangkan. Terima kasih sekali lagi.