Iqbal Nu’aim si abang yang kini sudah 7 tahun. Baginya, berpuasa tidak sukar. Hari pertama berpuasa dapat ditempuh dengan jayanya. Sejak berusia 6 tahun lagi Nu’aim mampu berpuasa penuh sebulan tanpa rungutan. Beliau juga senang dikejutkan bagi bersahur. Cuma beliau memilih dari segi makanan yang ingin dijamahnya. Hari pertama berpuasa tahun ini, beliau terlupa lantas pergi ke dapur meminum segelas air sejuk. Segar! Kemudian, berasa serba salah apabila menyedari beliau sedang berpuasa. Selepas dimaklumkan puasanya tida terbatal kerana tidak sengaja meminum air, beliau kembali ceria meneruskan puasanya pada petang itu.
Isyraf Idraki kini 4 tahun. Ketinggiannya yang separas kebanyakan kanak-kanak 7 tahun menyebabkan orang menyangka beliau sudah besar. “Esok kita puasa,” ibu memberitahunya.
“Apa ibu? Kita ‘kuasa’. Ooo… kita boleh terbang esok. Nanti ada api di bawah.” Beliau menyangka ibu sedang mengatakan tentang ‘kuasa’ kerana perkataan itu yang sering menerjah gegendang telinganya. Mungkin terlalu banyak pengaruh cerita-cerita superhero di televisyen dan permainan video menyebabkan beliau lebih tahu tentang kuasa berbanding puasa. Beliau anak yang ceria dan kasih kepada ahli keluarga yang lain.
Nur ‘Aisyah Humaira’ si kecil comel yang baru 15 bulan. Banyak perkataan yang sudah dipelajari seperti ayah, abang, acih (terima kasih), ijia (Lidia si bibik). Namun, masih belum mampu menyebut ‘ibu’. Beliau langsung belum mengerti hal ehwal puasa. Hari pertama bersahur, turut bangun ‘menemani’ ibu menyediakan hidangan disertai dengan ‘nyanyian’ mahu ajak ibu tidur.
Hari pertama puasa berbuka dengan laksa lemak, cendol, agar-agar dan sarsi. Semua terasa sedap!
Hasil Nukilan :Nurulhilyati Abdul Halim
Pemilik Raudhatunnaim.Com
nurulhilyati@fineacademy.com.my
