Pada pagi ini tidak sabar rasanya mahu menyambung bacaan novel Kidung Selawat Zaki dan Zulfa. Nampaknya pagi ini ada sarapan yang baik juga buat jiwaku yang lapar. Dan alhamdulillah baru selesai membaca novel ini tanpa gangguan tentera-tentera kecil yang masih tidur.
Novel ini mengisahkan dua kiai yang bersahabat baik sejak belajar di pesantren dan kini memiliki pesantren masing-masing. Prinsip mereka dalam mengembangkan dakwah Islam berbeza dan mereka melalui pelbagai ujian Tuhan bagi mencapai hajat dan tanggungjawab mereka dalam menegakkan keadilan, mencari redha Tuhan, membersihkan nama baik yang tercemar dengan fitnah dan dalam menyatukan anak mereka berdua dengan ikatan perkahwinan.
Adakah kedua-dua pak kiai ini mampu mengharungi ujian-ujian ini? Berjayakah mereka menyatukan dua hati insan terpenting dalam hidup mereka. Siapakah antara pak kiai ini yang dikatakan orang menyembunyikan seorang pelacur di belakang tembok pesantren?
Apa yang perlu diyakini adalah bantuan Allah pasti datang kepada mereka yang bersabar dalam menegakkan keadilan walaupun mengikut logik akal rasanya pihak yang benar itu sudah kalah dan tidak dapat berbuat apa lagi. Namun siapakah yang tahu apa yang direncanakan Allah sebenarnya.
Sesuai dibaca bagi mereka yang ingin bersantai-santai dalam membangunkan jiwa. Layari: http://www.pts.com.my/index.php/buku/kidung-selawat-zaki-dan-zulfa/
Hasil Nukilan :Nurulhilyati Abdul Halim
Pemilik Raudhatunnaim.Com
nurulhilyati@fineacademy.com.my
