Siapa yang mahu capai redha Allah, pelajari fikah. Ini kerana setiap saat dalam kehidupan kita terdiri daripada perbuatan pilihan kita. Dan setiap perbuatan ini tidak lari daripada hukum fikah yang lima iaitu wajib, sunat, makruh, harus dan haram. Mengapa dikatakan perbuatan itu sebagai pilihan? Ini kerana setiap masa kita dihadapkan dengan pilihan. Kita boleh memilih mahu bangun awal atau lambat, boleh pilih sama ada mahu senyum ataupun tidak, boleh pilih sama ada mahu tidur ataupun tidak dan setiap satu pilihan perbuatan kita itu ada hukumhya. Jadi biarlah kita tahu apa yang kita pilih itu, selari dengan kehendak syariat demi mencari redha Allah.
Lawati Jadual Kelas Agama bersama Fine Academy.
Walaupun kelas sudah bermula, namun penyertaan masih dibuka. Inilah usaha kerdil kami demi bersama-sama mengenali Allah dan mengecap bahagia yang hakiki.
Pengenalan Fikah
Fikah menerangkan bagaimana hendak mencapai redha Allah. Kehidupan kita adalah bebas namun dalam kitaran yang terikat. Kita terikat dengan sistem yang ditetapkan oleh syariat Islam. Apakah akan terjadi sekiranya hidup ini bebas sebebas-besanya tanpa ada undang-undang dan batasan? Sudah pasti dunia ini menjadi huru hara dan hiruk pikuk.
Fikah ialah mengetahui hukum syarak yang berkaitan dengan perbuatan manusia. Hukum syarak terdiri daripada wajib, sunat, haram, makruh dan harus. Perbuatan yang wajib dan sunat disukai Allah, haram pula dimurkai Allah. Perbuatan makruh tidak disukai Allah dan yang harus pula boleh dipilih oleh kita sama ada mahu melakukannya ataupun tidak. Perbuatan manusia yang melibatkan hukum harus paling banyak antara kesemua hukum syarak itu.
Setiap perbuatan tidak lari daripada kelima-lima hukum ini dan bukan hanya melibatkan hal ehwal ibadah khusus seperti solat, puasa dan sebagainya. Contohnya, tidur asalnya harus, namun menjadi wajib apabila kita tersangat mengantuk ketika memandu. Pada ketika ini apabila terus memandu dalam keadaan mengantuk kita khuatir akan kemalangan, jadi wajib ke atas kita tidur dahulu sebelum meneruskan perjalanan. Beringatlah wahai pemandu-pemandu yang keletihan semasa memandu pulang ke kampung halaman. Berhenti rehat di R&R. Banyak lagi contoh lain.
Sifat-Sifat Khusus Fikah
- Ketuhanan: Walaupun fikah itu terdiri daripada pandangan dan pendapat ulamak namun sumber asalnya tetap daripada Allah iaitu al-Quran dan sunnah nabi-Nya.
- Rahim: Sifat fikah juga adalah kasih sayang. Antara bab yang dibincangkan dalam fikah adalahbab tentang pembiayaan kepada binatang. Apabila kita mempunyai binatang peliharaan, kita wajib peruntukkan wang kepada binatang belaan kita. Sifat kasih sayang juga jelas dalam fikah apabila terdapat penangguhan hukuman kepada wanita hamil sehingga dia melahirkan dan menyusukan anaknya.
- Mudah: Sifat fikah juga mudah dipraktikkan.
- Lengkap: Fikah bukan sahaja membincangkan hal ibadah, ia turut merangkumi hal politik, perniagaan, hak anak dalam kandungan dan sebagainya.
- Seimbang (wasatiah): Tidak terlalu syadid dan tidak terlalu liberal.
Apabila kita belajar fikah, kita perlu menjadikannya sebagai sistem dalam hidup dan bukan sekadar maklumat sejarah.
Pembahagian Mazhab
Fikah merangkumi kefahaman keempat-empat mazhab ini iaitu Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali. Ia juga dikenali sebagai mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah. Mengapa ada 4 mazhab dan bukan 1? Begitulah rahmat Allah yang mewujudkan variasi ini. Dia memudahkan kita kerana dia yang menciptakan kita dengan pelbagai bangsa, geografi, budaya. Dia maha mengetahui kelemahan dan keperluan hamba-hambanya. Tanpa fikah kita tidak mampu membina tamadun. Asas tamadun perlu ada makrifah atau fikhul makrifah. Fikah terdiri daripada fikah ibadah dan fikah muamalat
4 generasi yang perlu ada adalah:
- Kreatif
- Kolektif
- Merancang
- Terbaik (Ahsan)
Metodologi ahsan sudah terhakis dalam Islam. Bagi mewujudkan generasi kreatif pun sukar. Namun kita perlu berusaha bagi mewujudkan generasi-generasi ini demi kesatuan Islam dalam mencapai redha-Nya.
P/s: menulis sebagai perkongsian dan yang paling penting peringatan untuk diriku suapaya tidak lupa akan ilmu yang dipelajari. Ya Allah kurniakan kepada kami ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima oleh-Mu.



