Si isteri mengadu kepada suami tentang beberapa keperluan rumah yang penting sudah kehabisan. Namun tiada tindakan yang diambil. Sabun basuh baju dan sabun basuh pinggan sudah habis langsung. Baju pula banyak yang perlu dibersihkan. Si isteri jadi malas mahu meminta-minta berkali-kali kerana tidak mahu digelar isteri yang suka meminta-minta, sedangkan si suami pula tidak betul-betul mendengar apa yang dimahukan oleh isteri. Bagi si isteri sekiranya dia berduit, dia tidak berkira langsung mahu belanjakan untuk keluarga. Si isteri tidak beranggapan suaminya tidak berduit kerana akhir-akhir ini dia sering belanja rakan-rakannya minum petang. Apabila si isteri merajuk kerana yang diperlukan tidak dipenuhi si suami pula buat andaian, si isteri penat malakukan kerja rumah sendirian, kain baju banyak yang tidak terbasuh. Akhirnya si suami mengambil keputusan mahu menggajikan pembantu rumah. Sekiranya suami mampu tidak mengapa, sekiranya tidak mam, masalah bertambah rumit kemudian nanti. Masalah sebenarnya adalah komunikasi antara suami isteri yang tidak jelas, tidak mendengar dengan baik dan tidak menyatakan dengan jelas kehendak diri. Rumahtangga oh rumahtangga, sungguh kompleks dan perlukan kesabaran dan keperihatinan dalam mengemudikan bahtera rumahtangga.
Cuti Sekolah Bermula
Bagi ibu-ibu di rumah cuti sekolah menyebabkan rutin harian mereka sedikit berubah. Sepanjang cuti di kelilingi anak-anak kecil sudah tentu menuntut kuderat yang bukan sedikit bagi melayan kerenah mereka.
Bagi saya dan anak-anak pula diberikan peluang oleh Allah mengikuti ayah mereka berprogram ke merata tempat. Ayah mereka bekerja, saya melayan anak-anak seperti ibu-ibu lain juga tetapi bezanya tempat dan situasi yang sering bertukar-tukar. Setidak-tidaknya mood ibu dan anak-anak pun berubah-ubah dan berwarna-warni seperti pelangi. Tidaklah duduk terperuk di rumah saja.
Trip sepanjang cuti sekolah seperti berikut Kuantan, Kota Bharu, ALor Setar, Ipoh, Batu Pahat, Pulau Pangkor. Seronok bukan! Kerja pejabat dapat dilakukan secara online.
Esok, Selasa bertolak ke Kuantan dengan menaiki bas. Akan pulang ke sini pada hari Jumaat. Pada hari Sabtu ada Hari Takrim Nu’aim dan mengambil keputusan peperiksaan Isyraf.
Oh! Sungguh indah cuti kali ini.
Tahap Kesabaran Perlu Dipertingkatkan Apabila Bekerja Secara Berpasukan
Banyak kerja yang kita lakukan menuntut kita bekerja bersama-sama rakan sekerja yang lain atau dalam erti kata lain kerja secara berpasukan. Kerja secara berpasukan penting apabila proses kerja itu memerlukan pelbagai kepakaran bagi menyiapkannya. Sukar menemui seorang manusia yang pakar dalam segenap segi ataupun sempurna. Demi menjayakan misi yang ditetapkan, kerja berpasukan adalah penyelesaian terbaik bagi menghimpun kepakaran dan lengkap melengkapi antara satu sama lain.
Namun, manusia juga mempunyai karekter yang berbeza. Ada yang teliti, ada yang cemerkap, ada yang releks, ada yang kalut dan banyak lagi. Apabila berdepan dengan manusia yang mempunyai karekter yang berbeza daripada kita, sifat sabar kita selalu tercabar. Inilah yang sering berlaku dalam kerja berpasukan. Si A mahu segala-galanya siap cepat, Si B pula buat endah tidak endah dan sering melakukan kesilapan. Si A terpaksa bersabar kerana hanya Si B sahaja yang tahu melakukan tugasan bahagiannya itu.
Itulah hakikat kerja berpasukan. Sabar, jangan tidak sabar. Segalanya pasti selesai dengan baik.
Double Standard Sungguh!
Pusing sana pusing sini, jenguk sana jenguk sini akhirnya saya memilih gerai yang satu ini. Pelayan wanita yang ada di situ sibuk masukkan nasi dalam bekas makanan hinggakan saya terasa seolah-olah dia tidak nampak saya di hadapannya. Pada wajahnya tiada langsung kemanisan apatah lagi senyuman menawan. Lantas saya terus meminta nasi dan kemudian dengan wajahnya yang tetap begitu dia menghulurkan nasi kepada saya. Saya tidaklah mengharapkan dia beramah mesra dengan saya, tetapi apalah salahnya kalau sambil buat kerja ringankan mulut berkata, “Puan mahu nasi kah?” Bukannya susah sangat pun. Lagipun tiada pelanggan lain pun di situ selain saya. Maknanya tidaklah sibuk sangat sebenarnya.
Sambil saya mencedok lauk, tiba seorang lelaki ke gerai itu. Belum pun sempat lelaki itu berhenti di hadapannya wanita berkata, “Ya bang, mahu makan nasi kah?” Amboi! manisnya rupa. Begitulah kisahnya. Sekiranya kita bekerja, tidak kiralah siapa kita apabila berhadapan dengan pelanggan, janganlah tunjuk double standard dengan layanan yang diberikan. Usahlah membezakan jantina, kaya miskin, datok datin dan sebagainya. Layan dengan seikhlas hati.
Anak Bertuah
“Ibu, esok ada jamuan,” terang si anak.
“Ok, mahu bawa apa esok?”
“Tidak mahu bawa apa-apa pun.” Mendengar penjelasan si anak, ibu berasa hairan kerana selalunya dia beria-ia mahu bawa itu ini. Tentu ada sesuatu yang difikirkannya.
“Mengapa?” ibu memohon penjelasan.
“Nanti perlu kemas barang selepas makan.”
“Iyalah, selepas makan kemaslah bersama-sama dengan kawan.”
“Tidak, cikgu cakap kemaskan barang masing-masing saja.”
Hanya orang yang bawa makanan saja yang ada bekas dan peralatan.Ini bermakan orang yang tidak bawa apa-apa boleh makan, kenyang dan kemudian tidak perlu berkemas. Dia memilih tidak mahu bersusah payah berkemas, lalu memutuskan tidak mahu membawa apa-apa makanan ke sekolah. Mungkin cikgunya perlu mengubah skrip selepas ini supaya anak-anak tidak mementingkan diri sendiri dan saling bekerjasama. Bertuah betul anak ini.
Misi Menjejak Wan oleh Nur ‘Aisyah Humaira’
Wan mengajak ‘Aisyah ke taman permainan pada petang itu. Ibu pula berasa tidak sedap hati mahu melepaskan ‘Aisyah pergi berdua dengan wan kerana ‘Aisyah sudah semakin lasak memanjat permainan di sana sedangkan wan pula tidak cukup kuderat menjaganya. Namun mahu mengikut banyak pula kerja perlu diselesaikan di pejabat. Maka ibu pun melepaskan ‘Aisyah pergi bermain dengan wan hanya diiringi dengan doa supaya Tuhan menjaga semua anak-anakku di mana sahaja mereka berada dan pada setiap masa.
Lebih kurang 15 minit wan dan ‘Aisyah kembali namun hanya kelihatan berseorangan di hadapan pintu, apabila ditanya di mana wan, dia menunjukkan wan ke arah tangga dan terdengarlah suara wan. Ini bermakna wan masih belum sampai dan dia sampai dahulu. Sebenarnya ibu sedang sembahyang, tetapi apabila terdengar suara si kecil memanggil ibu di depan pintu, ibu pun berhenti sembahyang dan pergi membuka pintu.
Kemudian sementara menunggu wan sampai ke muka pintu ibu meninggalkan pintu terbuka dan kembali ke tikar sejadah dan memulakan sembahyang asar sekali lagi. Namun sekali lagi sembahyang terganggu dengan perasaan yang sedang terfikirkan ‘Aisyah di mana. Ini kerana keadaan ketika itu terlalu sunyi tanpa suaranya.
Apabila masuk rakaat kedua terdengar suara budak menagis jauh di luar sana, dan terus terdetik mungkinkah itu suara tangisan ‘Aisyah. Sekali lagi sembahyang terhenti dan ibu berlari-lari mencari ‘Aisyah tingkat atas dan bawah pejabat, ternyata ‘Aisyah dan wan tiada.
Sebaik tiba di tangga paling bawah, lelaki Cina kedai servis kereta berkata, “Anak U ke yang berlari ke sana?” sambil menunjukkan ke arah jalan. Aduh! panik. Terus kaki ini menanggalkan kain sembahnyang dan mencapai tudung kepala dan berlari ke arah yang ditunjukkan Cina tadi. Tersenyum syukur apabila mendapati ‘Aisyah selamat atas dokongan seorang wanita berbangsa Cina sedang melangkah ke arahku, wan pula tiada di situ. Sah, ‘Aisyah turun sorang-sorang mengikut jejak wan yang pasti ke kedai atau minum di tempat sekitar sini.
Lantas ibu mengambil ‘Aisyah daripada wanita itu dan beliau menyatakan si kecil ini mahu melintas jalan dan kelihatan tidak tahu hendak ke mana. Lutut ibu masih menggigil bimbang apa-apa yang tidak diingini berlaku kepada ‘Aisyah. Kelihatan semua orang yang ada di sekitar situ memandang ke arah kami, sah budak ini cuba melintas jalan tadi. Allahuakbar, sudahlah jalan itu sibuk juga.
Teringat doa yang ibu lafazkan tadi supaya Tuhan memilhara anak-anak ibu di mana berada dan setiap masa. Tuhan makbulkan. Syukur alhamdulillah. Tika ini ‘Aisyah baru 2.5 tahun.
Pengajaran, tidak kira apa kita mahu buat, kunci pintu utama sebelum meninggalkan si kecil sendirian walaupun kita hanya di bilik sebelah sahaja dan jangan terlalu mengharapkan orang lain menjaganya kecuali Tuhan.
Syukuri atas nikmat kurniaan-Nya
Kini jarang sekali balik Bentong, lebih banyak masa di KL kerana banyak sebab. Antara sebab utama, suamiku terlalu sibuk dengan programnya tidak kira hari apa sekalipun termasuk hujung minggu. Di KL, apa sahaja yang kita mahu mudah diperoleh, asalkan ada duit. Cuma satu perkara yang tidak adapat dibeli di KL tetapi ada di Bentong, kedamaian dan ketenangan.
Buat masa ini, bibik masih di Indonesia. Sebenarnya aku suka masa begini kerana tiada orang asing dalam rumahtangga aku. Aku dapat mengurus semuanya sendirian. Lebih puas dapat urus makan pakai ahli keluarga sendiri berbanding dibuat oleh orang lain. Namun satu perkara lain yang timbul adalah, aku tidak punya kekuatan melakukan semua kerja rumah dan pejabat sekali gus. Sekiranya mampu pun, darjah kualiti dan kepuasannya lebih rendah berbanding fokus pada satu perkara. Nampak seperti tidak multi tasking, tapi begitulah aku. Masa beginilah aku dapat melayan dan bersama anakku Aisyah 24 jam sehari. Tahu perkembangannya. Tahu apa yang dia belajar.
Dapat berguling-guling, bermain-main dan dia mengikutiku ke mana saja, ke bank, ke klinik, ke mana saja. Apa pun keadaannya kini, aku bersyukur pada Tuhan, kadangkala terfikir, mengapa Allah kurniakan banyak nikmat untukku walaupun aku ini bukanlah hambanya yang terbaik? Ya Allah itu Arrahman, Arrahim. Semoga Allah sentiasa menjadikan aku hamba yang bersyukur atas nikmat yang dikurniakan, menjadikan aku hamba yang sentiasa berbuat baik, dan golongkan diriku dengan rahmatmu ke dalam golongan hambamu yang soleh. Aamiin
Bibik oh! Bibik
Bibik Oh! Bibik.
Bibik mahu balik Indonesia. Sejujurnya, rasa nervous mahu menguruskan semuanya tanpa pembantu. Tambahan pula ibu mertua juga sudah tiada. Dulu boleh juga ibu mertua bantu, kalau tidak bantu dengan kuderat pun ibu berikan cadangan-cadangan bernas dalam mengurus rumahtangga.
Ya! Allah kurniakan daku kesabaran, kekuatan, kesihatan yang baik, kegigihan dalam menguruskan segalanya demi mengejar redha-Mu. Permudahkanlah urusan suamiku dalam mencari rezeki yang halal buat kami.
PTS Selamanya di Hatiku
Bulan ini bulan terakhir di PTS. 5 Ogos adalah tarikh perletakan jawatan itu bermula. Tidak mahu cerita banyak tentang perasaan meninggalkan PTS. Sudah tentu perasaan sedih lebih menguasai. Sedih kerana sayangkan PTS. Tempoh hidup saya bersama PTS lebih kurang sama dengan tempoh mengenali ibu mertua saya. Kini ibu mertua baru meninggal dunia dan saya juga akan bergelar bekas pekerja PTS.
Mengapa tinggalkan PTS? Saya tidak akan meninggalkan PTS kerana mendapat kerja di syarikat lain. Hanya dua perkara yang memungkinkan saya meninggalkan PTS iaitu mati ataupun bekerja sendiri. Disebabkan saya masih hidup, alasan kedualah yang menjadi jawapan kepada persoalan, mengapa saya meninggalkan PTS.
Terima kasih Bonda Ainon yang terlalu banyak membimbing saya. Beliaulah guru pertama saya dalam dunia penerbitan. Kenangan pertama kali menyunting buku berjudul Etiket Islam tidak pernah dilupakan. Itulah judul buku pertama yang saya sentuh.
Prof. Abdullah Hassan pula umpama ayahanda yang banyak membimbing dan mengajar selok-belok berbahasa dengan baik. Jasamu sentiasa dikenang.
Buat En. Arief Hakim, terima kasih kerana sudi membayar gaji saya selama ini. Dek kerana gaji yang diberikan itu saya mampu membayar PTPTN dan tidak disenaraihitamkan.
Walaupun saya meninggalkan PTS, namun saya sentiasa menyokong perjuangan PTS dan mendoakan Tuhan memberkati usaha kalian semua. Saya akan mengikut rapat perkembangan cerita PTS kerana di sisi saya masih ada orang kuat PTS iaitu Tuan Fauzul Na’im Ishak.
Isyraf Masuk Tadika
Muhammad Isyraf Idraki sudah tadika. Tadika mana lagi kalau bukan Tadika Tunas Ilmu. Wahai cikgu-cikgu kita bertemu lagi.
Sejak awal lagi Isyraf sudah menyatakan hasratnya tidak mahu ke sekolah. Disebabkan otaknya sudah tertanam niat tidak mahu ke sekolah, maka memang mencabarlah kami ibu ayahnya mahu menghantarnya ke sekolah.
Bulan pertama memang mencabar. Hari pertama, minggu pertama habis baju dan tudung ibu ditarik-tarik kerana tidak mahu ditinggalkan. Kemudian masuk 2 minggu, baru mahu stabil sedikit, ada pula senior yang katanya memijak punggungnya semasa tidur. Dia jadi takut. Lantas saya memberitahu cikgu supaya perhatikan senior yang suka buli budak kecil ini.
Akhirnya kini sudah 7 bulan di sekolah, segala-galanya berjalan lancar.Cuma ada satu jenis soalan ini tidak pernah lekang dari mulutnya setiap kali mahu berpisah pada waktu pagi, “Ibu, pukul berapa petang ini?” Dia hanya ingin memastikan saya tidak lupa menjemputnya pada waktu petang nanti. Ayat yang membawa maksud sama tetapi dalam bentuk pernyataan, “Ibu, pukul 5 kan.”
Begitulah kerenah Isyraf Idraki. Semoga Allah menjadikan Isyraf anak yang soleh dan bertambah yakin dengan diri sendiri dalam apa jua yang dilakukan.



