Oleh Anwar Ridwan Zakaria
Akademi Pengajian Islam, UM
Pendahuluan
Syariat Islam didirikan di atas 3 asas utama yang melahirkan seorang muslim mukmin yang sempurna. Asas ini dijelaskan dalam hadith Jibril iaitu Iman, Islam dan Ihsan. Dalam ketiga-tiga asas tersebut, Iman merupakan perkara yang terpenting. Hilangnya status tersebut akan menyebabkan hilangnya hak keistimewaan sebagai seorang muslim. Bukan itu sahaja, ianya juga akan menggugat perkahwinan, warisan dan lain-lain yang berkaitan. Lebih memburukkan lagi tiadanya asas Iman akan menyebabkan semua amalan ditolak dan tidak diterima seterusnya tidak dapat memasuki syurga Allah swt.
Perbincangan batas-batas iman dan kufur ini agak sensitif bagi sesetengah orang. Ini kerana ia melibatkan sesetengah keyakinan, amalan dan budaya yang telah menjadi darah daging umat Islam khususnya umat Melayu yang sangat terpengaruh dengan budaya Hindu dahulunya. Perbincangan ini diharap dapat menghindarkan umat Islam daripada tergelincir daripada batas-batas iman dan kufur dan bukan menjadi polemik untuk melahirkan perpecahan masyarakat dan seumpamanya.
Pembahagian Manusia
Secara umumnya, manusia terbahagi kepada dua golongan iaitu mukmin dan non-mukmin. Golongan yang tergolong di dalam mukmin ini terbahagi kepada tiga iaitu muhsin, muqtasid dan zalim linafsih. Selagi seseorang itu tidak melanggar batas iman dan juga kufur maka ianya masih dikira mukmin walaupun terdapat kekurangan dan kezaliman pada dirinya sendiri. Apabila batas-batas iman ini dilanggar, secara automatik terkeluarlah seseorang itu daripada lingkungan mukmin.
Asas-Asas Batas Iman dan Kufur
Iman secara umumnya memberi erti percaya dan yakin dengan hati, membenarkan dengan kata-kata dan beramal dengan segala apa yang datang daripada Allah melalui utusanNya Nabi Muhammad (saw). Dalam kata lain keimanan itu didirikan dengan 3 aspek iaitu aspek kepercayaan dan keyakinan, aspek ucapan dan perkataan dan aspek amalan dan perbuatan. Tiga aspek inilah yang menjadi jalan untuk seseorang itu terkeluar daripada lingkungan mukmin. Mana-mana satu daripada 3 ini jika tergelincir akan menyebabkan seseorang itu boleh kehilangan statusnya sebagai seorang mukmin.
Batas-Batas Iman dan Kufur
Batas-batas iman dan juga kufur ini tertumpu kepada 2 aspek yang menjadi asas dalam 2 kalimah syadah. Beriman dengan 2 asas ini menjadi mukmin manakala mengingkarinya akan menyebabkan seseorang itu menjadi kufur.
a.Beriman Kepada Allah
Ada 4 aspek yang perlu diimani secara total oleh seseorang mukmin iaitu keujudan Allah, RububiyyahNya, UluhiyyahNya dan Asma’ wa SifatNya. Mengingkari mana-mana satu aspek ini akan mengeluarkan seseorang dari lingkaran keimanan.
- Keujudan Allah ; sesiapa yang mengingkari keujudan Allah swt diatas maka terkeluar daripada iman.
- Rububiyyah ; sesiapa yang mengingkari kekuasaan, pentadbiran, penciptaan, kemanfaatan, kemudaratan dan pemilikan hanyalah milik Allah swt maka terkeluar dari iman.
- Uluhiyyah ; sesiapa yang mengingkari Allah sebagai satu-satunya zat yang dihalakan ibadah, doa, pengharapan dan kecintaan maka terkeluar dari iman.
- Asma’ wa Sifat ; sesiapa yang mengingkari Allah mempunyai nama-nama dan sifat-sifat kesempurnaan maka terkeluar dari iman.
Mana-mana iktiqad (keyakinan dan kepercayaan), perkataan dan perbuatan yang mengingkari atau memberi maksud mengingkari aspek-aspek diatas secara automatik terkeluar dari batas-batas iman.
b.Beriman Kepada Nabi Muhammad saw
Ada dua asas penting yang perlu diimani terhadap Baginda saw iaitu peribadi Nabi sebagai utusan dan khabar serta ajaran yang dibawa dan disampaikan oleh Baginda saw. Mengingkari mana-mana aspek ini akan mengeluarkan seseorang itu dari lingkaran keimanan.
- Peribadi Nabi saw ; pengingkaran dan penghinaan terhadap peribadi mulia Nabi saw samada peribadi kemanusiaan atau kenabian boleh menyebabkan tergelincir dari batas keimanan. Termasuklah di dalam kategori ini orang yang mengingkari dan mengihina fatanah (kecerdikan), amanah, sidiq (benar) dan tabligh (sempurna penyampaian) Nabi saw.
- Khabar dan Ajaran Nabi saw ; pengingkaran dan penghinaan terhadap apa yang disampaikan oleh Baginda saw samada khabar, ajaran dan sunnah boleh menyebabkan tercicir dari batas keimanan. Termasuk di dalam kategori ini rasa ragu dan tidak puas hati terhadap ajaran dan khabar dari Nabi saw samada al-Quran mahupun perkara-perkara samiyyat (tidak nampak dengan mata kasar dan tidak boleh difikirkan dengan aqal.
Mana-mana iktiqad (keyakinan dan kepercayaan), perkataan dan perbuatan yang mengingkari atau memberi maksud mengingkari aspek-aspek diatas secara automatik terkeluar dari batas-batas iman.
Berawas dan Berhati-Hati
Sebagai seorang mukmin, kita perlu sentiasa berhati-hati di dalam segala tindak-tanduk seharian agar tidak terkeluar dari lingkaran mukmin. Begitu juga seorang mukmin mesti berhati-hati di dalam melabel dan menghukum kekufuran seseorang. Ini kerana di dalam Islam terdapat perbezaan yang yang diharuskan. Sebagai kesimpulan, perlunya umat Islam sentiasa merujuk kepada para guru dan ulamak yang muktabar didalam memastikan keimanan kita. Pastikan setiap perkara yang diberikan oleh guru tersebut disertakan dengan dalil dan hujjah serta kaedah yang benar berasaskan metodologi pengajian Islam.
Mutakhir ini kita dapati persoalan aqal (rasional) dilihat mendominasi iman didalam memahami ajaran Islam. Kertas ringkas ini bertujuan memberikan pengenalan awal tentang asas pemikiran seorang individu muslim. Ia sangat memberi kesan di dalam kehidupan harian seorang individu muslim. Asas ini jugalah yang melahirkan pandangan yang berbeza di antara individu muslim dengan non-muslim. Ini dapat dilihat terutamanya apabila membabitkan soal-soal yang secara mata kasarnya sukar untuk difahami…..
Oleh
Anwar Ridwan Zakaria
Akademi Pengajian Islam, UM
Pendahuluan
Mutakhir ini kita dapati persoalan aqal (rasional) dilihat mendominasi iman didalam memahami ajaran Islam. Kertas ringkas ini bertujuan memberikan pengenalan awal tentang asas pemikiran seorang individu muslim. Ia sangat memberi kesan di dalam kehidupan harian seorang individu muslim. Asas ini jugalah yang melahirkan pandangan yang berbeza di antara individu muslim dengan non-muslim. Ini dapat dilihat terutamanya apabila membabitkan soal-soal yang secara mata kasarnya sukar untuk difahami.
Iman Asas Utama Individu Muslim
Perkataan iman secara ringkas membawa maksud percaya dan yakin. Terdapat beberapa istilah lain yang digunakan oleh orang melayu untuk memberi maksud yang sama iaitu aqidah dan tauhid. Secara umumnya iman memberi erti keyakinan yang penuh terhadap apa yang datang daripada Allah melalui RasulNya atau dalam erti kata lain apa-apa yang datang dari al-Quran dan hadith yang sahih.
Iman juga bermaksud menerima secara bulat-bulat apa yang disampaikan. Inilah yang dilakukan oleh para sahabat diperingkat awal. Abu Bakar umpanya digelarkan sebagai Al-Siqqiq hasil dari iman yang secara total terhadap isra’(perjalanan dari Baitillah ke Bait al-Muqaddas) dan mikraj (perjalan ke langit) Rasulullah.
Ini berbeza dengan amalan manusia biasa terutamanya non-muslim yang melihat aspek aqal sebagai asas utama di dalam menerima sesuatu termasuklah ajaran Allah swt. Atas asas ini lah kita lihat berlaku kritikan-kritikan yang banyak terhadap ajaran Islam hasil daripada asas aqal dijadikan piawaian utama. Aspek wanita umpamanya menjadi asas kritikan terhadap Islam apabila dilihat berlaku diskriminasi.
Bagi individu muslim, sepatutnya apa yang disampaikan patut diterima dengan penuh keyakinan (iman). Keyakinan ini sebenarnya jika dikaji tidaklah bercanggah dengan aqal manusia. Bahkan ia merupakan fitrah setiap manusia yang diciptakan. Asas kepada keyakinan ini boleh dilihat melalui beberapa analogi :
1. Allah sebagai pencipta
Fitrah manusia menunjukkan bahawa alam ini mempunyai pencipta. Boleh dikatakan keseluruhan manusia meyakini bahawa alam ini diciptakan oleh Allah (God). Aqal yang sihat akan menyakini segala apa yang disampaikan oleh tuan pencipta tentang apa yang diciptakan.
2. Rasul sebagai utusan
Keyakinan kepada para rasul memang menjadi aspek sering dipertikaikan yang akhirnya menolak keseluruhan ajaran itu sendiri. Sejarah telah membuktikan bahawa apa yang disampaikan oleh para rasul itu benar. Kebenaran telah dibuktikan dengan ujian yang telah berjaya membuktikan kebenaran para rasul sebagai utusan Allah. Aqal yang sihat akan menyakini sesuatu yang telah dibuktikan secara berulang kali.
Analogi di atas menunjukkan bahawa asas utama kepada individu muslim adalah menyakini setiap apa yang datang daripada Allah dan RasulNya.
Iman dan Aqal
Persoalan yang sering menjadi topik hangat akhir zaman adalah persoalan rasional (aqal). Timbul persoalan, adakah Islam itu agama yang tidak rasional atau agama yang tidak boleh menggunakan aqal?. Persoalan ini sangat penting untuk dijawab supaya umat Islam menimbang soal iman dan aqal dengan baik.
Islam seperti yang diketahui umum sangat menitikberatkan soal berfikir dan rasional. Ini dapat dilihat dengan jelas melalui Al-Quran dan hadith Rasulullah. Ini juga dapat dilihat ketika para ulamak Islam mengupas isu-isu fiqh melalui perbincangan hikmah dan illah. Kesemuanya ini menggambarkan Islam sangat mementingkan soal rasional dan aqal.
Islam melihat aqal mestilah berpandukan kepada iman. Aqal tidak boleh berdiri sendiri tanpa disandarkan dengan iman. Jika dilihat dari aspek etimologi (pembinaan kata), aqal bermakna sesuatu yang diikat. Seseorang yang berakal adalah orang yang mampu mengikat aqalnya untuk membezakan sesuatu yang baik dengan yang buruk. Atas dasar ini, Islam melihat sesuatu yang buruk dan baik itu perlu diikat berasaskan wahyu (Al-Quran dan Al-Hadith).
Secara realitinya, aqal manusia memang terhad. Manusia tidak mengetahui sesuatu yang diluar kemampuan dan kebiasaannya melainkan dengan berita yang disampaikan kepadanya. Dalam erti kata lain, aqal manusia adalah terhad kemampuannya berfikir. Seseorang yang hanya mengikat sesuatu dengan aqalnya sahaja akan terjerumus ke dalam kemusnahan.
Sebagai contoh, seorang yang tidak pernah terdedah dengan soal teknologi akan berfikir bahawa lebih baik menggunakan air daripada petrol untuk menggerakkan engine. Ini kerana air lebih murah daripada petrol. Bagi orang yang ada sedikit pengetahuan akan berfikir bahawa diesel lebih baik digunakan kerana harganya juga bahan api dan lebih murah. Tetapi jika manusia menggunakan aqal melalui penjelasan pencipta engine baru manusia akan terselamat dari kemusnahan.
Kesemua alasan diatas menunjukkan bahawa aqal sangat perlu di dalam Islam tetapi ianya mestilah berasaskan keimanan. Kajian dan rasional yang dicari mestilah berasaskan kepada aqidah. Inilah yang akan menyelamatkan manusia daripada kemusnahan hasil daripada pemikiran manusia yang sempit dan terhad.
Iman dan Kebenaran
Satu lagi asas yang penting adalah iman kepada ajaran Islam adalah sesuatu yang benar. Konsep kebenaran ini agak sedikit berbeza. Manusia yang tidak beriman akan menilai sesuatu kebenaran itu berasaskan pemikiran mereka. Jika ianya dirasakan tidak benar berasaskan aqal mereka, perkara tersebut akan ditinggalkan. Islam melihat kebenaran itu mesti melalui iman. Ini kerana kebenaran akan terhasil apabila ianya dilaksanakan. Maka untuk merealisasikan sesuatu perkara yang secara aqal tidak dapat melihatkan kebenaran maka perlunya iman untuk memastikan kebenaran itu dapat dilihat melalui perlaksanaannya.
Jika dilihat secara rambang, banyak ajaran-ajaran Islam yang dirasakan tidak sesuai dan tidak ada kebenaran padanya. Hasilnya kita lihat umat Islam sendiri tidak menghayati ajaran tersebut. Inilah sebenarnya punca Islam itu tidak dapat dirasai kemanisan dan kehebatannya. Islam memang agama yang cemerlang tetapi dengan hanya ungkapan dan pemikiran Islam tidak akan cemerlang.
Sebagai contoh, seorang pesakit yang pening kepala datang berjumpa doktor. Doktor memberikan ubat dengan aturannya untuk dimakan. Untuk menghilangkan pening kepala, pesakit tidak boleh menilai kebaikan ubat tersebut dengan hanya melihat secara fizikal dan mengulang-ulangkan sebutan aturannya sahaja. Pesakit tidak mampu berfikir tentang bagaimana ubat tersebut menghilangkan pening. Pesakit hanya akan mendapati kebenaran tersebut melalui pengambilannya secara berterusan. Atas dasar itulah, ajaran Islam perlu dilaksanakan untuk mendapatkan kebenarannya dan bukan melalui pemikiran dan perbincangan sahaja.
Kesimpulan
- Umat Islam mesti meletakkan keimanan sebagai asas kehidupan.
- Umat Islam tidak boleh terpengaruh dengan metodologi barat didalam menilai Islam dengan meletakkan aqal sebagai piawaian di dalam menjustifikasi ajaran Islam.
- Rasional dan kebenaran ajaran Islam tidak semua dapat dibuktikan dengan aqal kerana aqal manusia sangat terhad.
- Rasional dan kebenaran ajaran Islam kadang-kadang dapat dibuktikan dengan iman dan praktik.
Kertas ini adalah ringkasan untuk perbincangan sahaja. Analogi yang dibawa hanya untuk memberikan kefahaman asas. Segala nas-nas dan isu-isu yang berkaitan akan dijelaskan di dalam perbincangan.









