“Ibu, esok ibu cuti kan!,” Nu’aim yang disangka sudah tidur, rupa-rupanya belum melelapkan mata.

“A’ah, kenapa?”

“Pagi esok kita kayuh basikal pusing-pusing Sungai Marong, boleh?” Nu’aim menyuarakan rancangannya esok.

“Boleh saja. Itupun kalau cuaca baik, tidak hujan. Dengan syarat, bangun sembahyang subuh.”

“Baik.” Nu’aim dapat melelapkan matanya dalam keadaan gembira. Begitu juga Isyraf yang mendengar perbincangan tadi, dia turut teruja mahu ikut serta.

Apa lagi, pagi tadi Nu’aim sanggup bangun awal, mandi kemudian solat subuh. Tidak henti-henti bertanya bila mahu mula kayuh basikal. “Tunggulah sehingga ayah pergi kerja.”

Isyraf dan Nu’aim naik basikal. Ibu menyorong stroller Humaira’ yang baru masuk 7 bulan. Berpeluh juga pusing kawasan perumahan Sungai Marong ini. Kalau tidak kayuh basikal, kami berjoging sama-sama. Kadang-kala ibu bawa kereta ke taman permainan terdekat dan habiskan 45 minit di sana. Seronok sekali-sekal begini melayan kehendak anak-anak. Lagipun ia aktiviti yang menyihatkan. Beginilah salah satu cara menghargai anak-anak. Tidak perlu keluarkan wang ringgit. Peruntukkan sedikit masa, tenaga dan kemahuan melayani dan menyayangi mereka.

Tengah hari pula Nu’aim mahu makan rendang ayam. Dum dam dum dam kelentang kelentung siap bahan-bahan untuk masak rendang. Sambil memasak rendang, melayan Isyraf makan nasi dan tomyam.  Apabila rendang sudah hampir masak, ternampak ada seketul lengkuas di bawah meja. Hahaha rendang ibu tiada lengkuas, larilah sikit rasanya. Kes tidak perasan lengkuas terjatuh bawah meja tadi. Biaq pi la setengah (BMR disengajakan).

DSC_0053

Di mana kita kerja? Di pejabat atau tempat kerja kita. Siapa bayar gaji kita? Majikan kita. Apa dia suruh kita buat? Dia suruh kita buat kerjalah. Bos marah ataupun tidak kalau kita main facebook dan tidak buat kerja yang disuruhnya? Biasanya bos marah. Kalau dia tidak marah maknanya dia tidak tahu apa kita sedang buat. Apabila kita mengulangi kesalahan yang sama, agak-agak bos biarkan sahaja? Kalau dia biarkan sahaja, tentu mentalnya juga tidak stabil, sepatutnya dikenakan tindakan disiplin dan boleh dibuang kerja.

Di mana kita hidup? Di bumi Allah. Siapa yang jadikan kita? Allah. Siapa beri kita makan, kesihatan, rezeki, bernafas dan segala nikmat itu? Allah. Apa dia suruh kita buat? Dia suruh kita mentaati semua perintahnya. Kalau kita tidak sembahyang fardu yang disuruh 5 kali sehari itu, adakah dia marah? Tentu dia marah dan tidak suka walaupun sebenarnya Allah tidak mengalami kerugian apa-apa pun, tetapi Dia tetap memberikan kita rezeki, bernafas, dapat minum air sirap limau ais,air bandung,menyanyi, berkaraoke dan pelbagai nikmat lain yang terus-menerus kita dapat.

Lihatlah! kasih Allah dan rahmatnya sangat luas. Tidak berkira dengan kita. Sebaliknya kita pula berkira dengan dia. Solat 5 minit pun sekejap buat, sekejap tidak. Ingatlah anak-anakku pesanan ibu ini. Jangan sekali-kali tinggalkan sembahyang di mana kamu berada hingga akhir hayat kamu. Jangan mudah larut dengan persekitaran yang sentiasa menggugah keimanan dan syaitan yang sentiasa mahu menyesatkan manusia.

DSC_0527

Soalan asas yang perlu dijawab oleh orang Islam. “Apa rasa apabila sembahyang?”. Kelakar juga apabila ditanya dengan soalan begitu secara tiba-tiba. Bagaimana harus saya menjawabnya. Adakah saya perlu memberikan jawapan yang ringkas dengan menganggap orang bertanya itu sudah tahu secara keseluruhannya pasal sembahyang. Ataupun saya perlu berikan jawapan yang terperinci.  Sedangkan saya ini bukanlah ustazah.

Apabila ditanya pasal perasaan apabila sembahyang, saya pun jawab spesifik menjurus kepada apa yang saya rasa.  Apabila sembahyang, saya lepih puas hati, tenang dan rasa tidak berdosa kerana melaksanakan tanggungjawab sebagai Muslim. Sudah sebati dengan kehidupan ini kerana setiap hari 5 kali dilakukan sejak kecil lagi. Apabila tidak sembahyang tentu saya rasa sebaliknya. Saya akan rasa lebih puas hati dan tenang apabila dapat sembahyang dengan khusyuk dan tambah dengan solat-solat sunat. Inilah jawapan ringkas dan menyentuh permukaan jawapan yang sebenarnya sahaja.

Sebelum menjawab soalan di atas dengan lebih mendalam, sebenarnya soalan yang lebih asas daripada itu adalah “Mengapa kita sembahyang?” Masa kecil kita sembahyang sebab emak suruh, takut kena marah, terikut-ikut. Apabila besar sudah pasti kita perlu berfikir menggunakan akal yang waras dan sudah matang, mengapa kita bersembahyang. Adakah alasannya sama seperti semasa kita kecil? Sepatutnya tidak lagi. Biasanya kalau anak saya bertanya, “Mengapa kita kena sembahyang, ibu?” Jawabnya pendek sahaja, “Kerana Allah suruh?”

Huraian lanjut seperti berikut. Ini pengetahuan asas bagi Muslim sahaja. Tanya pada diri sendiri. “Adakah aku ini orang Islam?” Kalau jawapannya “Ya,” sila baca penulisan ini selanjutnya. Jika “Tidak,” berhenti baca sekarang juga. Saya bukan ustazah, saya hanya Wanita Muslimah biasa. Cuba sedaya mungkin menjalani kehidupan ini bagi mendapat redhanya dan mendapat rahmatnya di akhirat nanti. Sembahyang saya juga kadangkala khusyuk dan adakalanya juga terbabas. Namun tetap berusaha mencapai khusuyuk yang dikehendaki Allah. Bagaimana Allah hendak menilai sembahyang saya, saya serahkan kepadaNya.

Kita sembahyang atas kesedaran, sesungguhnya kita sudah mengaku dan bersaksi tiada tuhan selain Allah, Nabi Muhammad itu persuruh Allah. Apabila kita sudah ada ‘akujanji’ ini, kita perlu mengikut dan mentaati apa yang diperintahkan Allah iaitu syariat Islam dan melakukan apa yang diajarkan Rasulullah. Hendak tahu apa yang disyariaatkan Allah, baca dan faham Quran. Kalau tidak mahu sesat dalam memahami Quran, lihat dan ikut apa yang diajarkan Rasulullah yang sudah pasti semuanya selari dengan Quran. Bagi kes ini, kaji berapa kali sembahyang disebutkan dalam Quran. Amal bagaimana Rasulullah sembahyang. Berapa kali sehari? Apa pula rukun sembahyang yang diajarnya dan sebagainya.

Nabi juga pernah berkata, beza antara orang Islam dan kafir adalah orang kafir itu meninggalkan sembahyang. Hadis ini direkodkan oleh Imam Ahmad dan Imam Muslim. Orang Kafir itu tidak sembahyang. Di mana kita?

Apabila jelas mengapa kita perlu sembahyang seterusnya mengamalkan sembahyang itu, barulah kita tahu apa rasa apabila kita menunaikan sembahyang. Perasaan orang yang sembahyang berbeza-beza bergantung pada tanggapan masing-masing pada kewajipan sembahyang.

Jika timbul persoalan, mengapa ada orang sembahyang dengan niat mahu menunjuk-nunjuk? Sembahyang ikut-ikut sahaja? Mungkin ada perkara yang mereka tidak tahu dan tidak jelas. Terangkanlah dengan baik kepada mereka. Yang penting, jangan asyik fikir dan bertanya, “mengapa orang ….?” sehingga lupa hendak bertanya “Mengapa saya….?”

Doalah supaya hati kita sama-sama terbuka dan sentiasa mendapat hidayah Allah.  Hati kita hanya Allah yang berkuasa mengawalnya. Hari ini mungkin kita baik dan bagus, akhir-ahkir kehidupan nanti tiba-tiba berubah, na’uzubillah. Mereka yang hari ini tidak sembahyang, esok lusa entah-entah Allah berikan hidayah menjadi antara mereka yang taat menunaikan suruhanNya.

Syaitan juga ada di mana-mana dan sentiasa bersedia dan berusaha menyesatkan manusia hingga kiamat. Itulah janjinya kepada Allah. Tidak kira sama ada orang yang sembahyang ataupun tidak, mereka sentiasa diganggu syaitan laknatullah. Yang sembahyang jadi tidak khusyuk, yang sembahyang juga terus berbuat jahat, yang tidak sembahyang terus-terusan tidak sembahyang. Jangan biarkan pengaruhnya menguasai kita hinggakan bisikan-bisikannya berjaya menjadikan kita hambaNya yang lalai. Wallahu’alam. Panjang pula tazkirah ini. Maaf kalau letih membaca ya!

DSC_0515

DSC_09089(a)-pnainon

Allahuakbar! Allah maha besar. Belum masuk waktu subuh lagi. Subuh di pagi Raya Aidil Adha. Raya kali ini kami tidak balik kampung. Cuti sekejap sangat. Persiapan raya pun ala kadar sahaja. Semalam, bersama-sama mentua buat rendang ayam. Tempah lemang. Buat kuih milky ball kegemaran Nu’aim. Apa agenda pagi raya ini? Aku pun tak pasti. Yang pasti pagi nanti suami dan anak sulungku ke masjid sembahyang raya. Aku seperti biasa, sembahyang di rumah. Isyraf, belum sesuai dibawa ke masjid. Kalau aku ikut serta ayahnya ke masjid, sudah pasti dia juga tidak ketinggalan mahu menyertainya. Kalau tidak dibenarkan, pasti suasana pagi raya didendang dengan tangisan dan amukkan. Kalau dia pergi semestinya aku tidak dapat sembahyang dengan tenang dan khushuk apabila dia merayau ke sana sini dalam masjid nanti. Sembahyang sahaja di rumah. Nanti anak besar sikit, dah pandai jaga diri boleh sama-sama ke masjid.

Gambar di atas untuk UNIKA PTS.  Itu gaya ala-ala gambar pasport. Tak pandai posing.

Gambar-gambar di bawah adalah wajah-wajah pagi raya.

271120091138

271120091137

271120091141

271120091139

DSC_0049

Sepanjang perjalanan ke tempat kerja dari Bentong ke KL melalui lebuhraya Karak hari ini aku disajikan dengan pemandangan yang cukup indah. Sudah banyak minggu cuaca buruk sahaja, hujan dan mendung bersilih ganti. Tetapi hari ini aku dapat melihat kembali keindahan yang  biasa aku nikmati sebelum ini, kehijauan hutan rimba, langit membiru, pemandangan bukit-bukau yang diselimuti kabus nipis dan  kedinginan udara luar menyegarkan tubuh. Semua ini adalah permulaan hari yang cukup baik, ceria dan bahagia. Terima kasih Tuhan kerana masih memberikan aku kesempatan menikmatinya walaupun aku ini hambamu yang selalu lalai dalam mentaati perintahmu. Syukur.

091120091061

Pagi yang redup. Mood aku juga tidak ceria. Bukan salahkan cuaca, cuma sikap-sikap manusia sekeliling membuatkan mood aku selari dengan cuaca pagi ini.

Aku boleh bertoleransi dengan orang yang berbuat salah, tetapi apabila tempias kesalahan itu terkena aku, ini yang nak hangin ni.

Ini gara-gara maid aku yang tersalah siang udang galah! Lain kali tak tau sila tanya.

24102009942Ini destinasi bengkel suamiku sepajang November ni. Apabila anak-anak tahu ayah mereka outstation soalan yang biasa dikemukakan kepada ibu mereka adalah, “Ibu! malam ni boleh tidur di bilik ibu kan!”

Kesempatan inilah yang dinanti-nantikan oleh Nu’aim dan Isyraf, tidur sebilik dengan ibu dan Humaira’. Bulan ini juga paling banyak siapkan baju dan pakaian untuk bekalan musafir suamiku. Pada dinding almari baju, aku siap-siap tulis, senarai bilangan baju dan segala macam benda yang perlu dibawa mengikut bilangan hari dan malam. Kalau 3 hari dah ada senarai barang keperluannya. Kalau 4 atau 5 hari pun sudah siap dikira. Mudah kerja aku sendiri, dan tiada keperluan penting yang terlepas pandang untuk dimasukkan ke dalam beg.

Sepanjang ketiadaan beliau, akulah memandu sendiri bertemankan putera sulungku Bentong-KL hari-hari.  Aku bukan superwomen, memang letih badan rasanya. Mujur ada yang teman, kerana maghrib masuk awal dan cepat gelap pula.

011120091033

Ahad 1 November lalu, tadika Nu’aim adakan mini konvo. Apa lagi berjubah sakanlah. Nu’aim pula sertai pelbagai persembahan. Mula-mula Nu’aim baca doa pembukaan majlis. Boleh tahan geliga juga otak Nu’aim. Ibu sendiri belum hafal doa-doa majlis ini, dia pula sudah hafal. Kemudian buat persembahan lagu Jari-Jari, We Love Allah, baca terjemahan surah al-alaq, dan yang paling ibu suka tengok anak ibu jadi tukang karut untuk persembahan dikir barat. Boleh dikatakan semua persembahan ibu suka, kerana dipersembahkan oleh anak-anak kecil yang ‘kiut-miut’. Dengar suara pun rasa ‘comel’ saja.

Kasihan pula dengan Isyraf. Dia bosan. Asyik tengok abang buat persembahan. Dia pula hanya duduk di kerusi bersama ibu dan lihat. “Ibu! nak pergi sekolah,” katanya apabila mendapati aktiviti di sekolah sungguh menyeronokkan. Jangan bimbang sayang, sampai masanya nanti ibu akan pastikan anak ibu Isyraf Idraki juga ke sekolah.

Bagi pasangan yang bekerja, antara cabaran utama dalam membesarkan anak-anak adalah ruang masa bersama anak-anak mereka. Begitu juga dengan aku dan suami. Kalau tidak outstation, kami suami isteri keluar rumah 7.30 pagi dan sampai rumah 7 malam. Kebelakangan ini suami aku memang sibuk. Ada sahaja agendanya pada hujung minggu. Walaupun begitu, sebagai ibu jadilah ‘backup person’ bagi melayani kehendak anak-anak dan menggembirakan mereka pada setiap kali hujung minggu.

Pada hujung minggu lepas aku ambil peluang keluar berjogging bersama Nu’aim dan Isyraf, menemani mereka bermain di taman permainan dan membawa mereka bermain air di kolam renang Hotel PGH. Kalau mahu tunggu ayah mereka baru hendak berjalan, memang agak sukar. Sambil berjogging, sambil-sambil bergambar. Berpeluhlah juga. Kemudian sama-sama ke pasar membeli jagung, dan serba sedikit barang basah keperluan di sapur.

23092009825

17092009784

raya

Pernahkah kita bertemu dengan orang yang tidak pernah melakukan kesilapan? Siapa mereka itu? Bagaimana pula mereka yang pernah tersilap? Agaknya apa perasaan mereka?

Dalam hal ini kita perlu terima semua makhluk ciptaan tuhan tidak sempurna. Hanya dia maha sempurna. Kita sebagai manusia biasa pasti melakukan kesilapan kerana fikiran kita terbatas, 5 pancaindera kita juga terbatas fungsinya.

Apa yang perlu dilakukan apabila kita melakukan kesilapan? Kesilapan yang dilakukan pula bukan kesilapan kecil. Contohnya, melukakan hati orang tersayang, menderhakai ibu bapa, terlanjur, mencuri, membunuh dan sebagainya. Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah Tuhan menyuruh kita bertaubat dan beristighfar. Perasaan bimbang dan cemas akan timbul. Tetapi kita perlu mengingatkan diri supaya bertenang menghadapi kenyataan. Langkah seterusnya menyelidiki diri dan punca kesilapan. Kemudian, bertemu dengan insan-insan yang dirasakan dapat membimbing dan menasihati kita. Kalau tidak dapat mencari kaunselor, carilah sesiapa yang baik akhlak dan agamanya.

Andainya kesilapan itu menyebabkan kita perlu dihukum, terima ia dengan reda. Semoga keredaan dan keinsafan itu melenyapkan segala dosa dan membuahkan pahala.

Kesilapan-kesilapan lain yang tidak menyebabkan kita dihukum mengikut undang-undang juga perlu diambil kira. Contohnya, disebabkan kecuaian kita, produktiviti syarikat terjejas. Apa yang perlu dilakukan? Semak kembali mengapa kecuain itu berlaku, mungkin kita tidak cukup mahir mengurus kerja.

Selain kesilapan-kesilapan besar, kita juga perlu teliti kesilapan-kesilapan kecil yang sering dilakukan dan diulangi tanpa ada rasa bersalah. Kesilapan kecil dan diulang-ulang ini biasanya tidak dihukum dengan kadar segera, hukumannya akan datang kemudian nanti.

Sebenarnya, sebagai muslim kita ada senjata yang dapat membantu kita dalam melakukan kerja seharian. Doa dan zikir. Sebelum memulakan sebarang kerja dahulukan dengan menyebut nama tuhan. Dengan izinnya kesilapan kerja dapat dielakkan apabila tindakan dan fikiran kiita mendapat petunjukNya.